Kemaskini terakhir : 15/03/2019 5:20     

KWSP Kesan Sindiket Penipuan Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahlinya supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan pengeluaran KWSP.

 

Amaran ini dikeluarkan hasil siasatan KWSP yang menemui beberapa kes penipuan dan cubaan menipu pengeluaran. Kes-kes tersebut melibatkan pembayaran sejumlah besar wang daripada simpanan ahli sebagai komisen kepada pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab.

 

“Sindiket ini menggunakan modus operandi yang sama dengan mensasarkan ahli yang terdesak dan dalam kesempitan wang. Ahli akan dipujuk untuk menyerahkan dokumen-dokumen peribadi mereka seperti salinan kad pengenalan, penyata akaun bank dan kad ATM sebagai sebahagian daripada syarat untuk menipu pengeluaran KWSP,” kata Nik Affendi Jaafar, Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP.

 

KWSP ingin menasihatkan ahli supaya melaporkan kepada KWSP atau polis dengan segera sekiranya dihubungi individu mencurigai yang mendakwa boleh membantu mengeluarkan simpanan KWSP di bawah pengeluaran perumahan, pendidikan dan kesihatan. Ahli yang ingin memohon pengeluaran KWSP dinasihatkan tidak mendapatkan bantuan daripada pihak ketiga, sebaliknya berurusan terus dengan KWSP yang memberikan perkhidmatan secara percuma.

 

"Walaupun terdapat sebilangan ahli yang telah diperdaya untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka, namun ada di antara ahli yang sengaja mengeluarkan simpanan secara tidak sah. KWSP ingin menegaskan bahawa penipuan pengeluaran merupakan kesalahan serius dan KWSP tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991,” kata Nik Affendi.

 

Tambah beliau, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali. Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan membuat permohonan di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, akan hilang hak mereka bagi membuat pengeluaran yang sama untuk selama-lamanya.

 

Sebelum ini, beberapa kes penipuan yang melibatkan pengeluaran pendidikan, kesihatan dan perumahan berjaya dikesan apabila ahli menyerahkan dokumen palsu bagi menyokong permohonan pengeluaran itu. Ahli-ahli terbabit telah didakwa dan dihadapkan ke mahkamah.

 

“KWSP ingin mengingatkan ahli bahawa simpanan KWSP adalah untuk persaraan mereka. Oleh itu, dalam apa keadaan sekalipun ahli tidak sepatutnya terlibat dengan sindiket penipuan yang boleh menjejaskan simpanan persaraan mereka. Sudah menjadi tanggungjawab KWSP untuk melindungi simpanan dan masa depan ahlinya,” kata Nik Affendi.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.