Kemaskini terakhir : 13/03/2019 5:04     

KWSP Ingatkan Ahli Tidak Terlibat Dalam Penipuan Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari mengingatkan ahli dan individu lain agar tidak melibatkan diri dalam penipuan pengeluaran simpanan KWSP.

 

Pada suku tahun keempat 2012 (S4 2012), lima ahli KWSP telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991 kerana menipu pengeluaran perumahan KWSP dan didenda sejumlah RM16,000 oleh mahkamah. Semua ahli yang didapati bersalah itu berkemungkinan akan dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Adalah menjadi keutamaan kami di KWSP untuk memastikan simpanan persaraan ahli terus dilindungi. Oleh itu, KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penipuan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991.”

 

Dari Januari hingga Disember 2012, sejumlah 29 saman mahkamah telah difailkan terhadap ahli yang terlibat dalam penipuan pengeluaran KWSP. Pada tempoh yang sama, 24 ahli telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran perumahan dan hilang upaya manakala 19 kes masih menunggu tindakan mahkamah.

 

Di bawah Akta KWSP, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Ahli diingatkan penipuan pengeluaran melibatkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli untuk tujuan kelulusan pengeluaran simpanan daripada akaun mereka.

 

Ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

Nik Affendi menerangkan KWSP mempunyai sistem komprehensif yang membolehkan ia mengesan sebarang kegiatan penipuan pengeluaran atau percubaan menipu walaupun setelah simpanan berjaya dikeluarkan.

 

 “Ahli dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap sendiket yang kononnya menawarkan pertolongan untuk membantu mengeluarkan simpanan KWSP dengan dikenakan bayaran yang tinggi. Ahli yang layak dan ingin membuat permohonan pengeluaran diminta terus berurusan dengan KWSP yang menawarkan perkhidmatan secara percuma,” kata Nik Affendi.

 

Sekiranya ahli berhadapan dengan sebarang bentuk penipuan atau cubaan menipu berkaitan KWSP, mereka digesa melaporkannya kepada KWSP dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat. 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar. KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.