Kemaskini terakhir : 17/01/2020 10:42     

KWSP Menyambut Baik Keputusan Kerajaan Mengenai PLUS

KUALA LUMPUR, 17 Januari 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik keputusan Kerajaan untuk mengekalkan status pemilikan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

 

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata, "Kami menerima baik keputusan yang telah dimuktamadkan dan arahan jelas Perdana Menteri berkenaan masa depan PLUS. Keputusan ini akan meredakan spekulasi yang lama berlarutan dan membolehkan semua pihak melangkah hadapan."

 

Beliau menambah, "Keputusan ini menunjukkan Kerajaan amat peka terhadap keperluan melindungi kepentingan 14.6 juta ahli KWSP. Pengurangan kadar tol juga membawa manfaat kepada ahli KWSP yang merupakan sebahagian besar daripada  1.7 juta pengguna harian lebuhraya PLUS."

 

"Kami ambil maklum permintaan Kerajaan untuk melaksanakan pengurangan kadar tol sebanyak 18% seawal 1 Februari 2020. Memandangkan tempoh masa yang singkat dan cabaran pelaksanaannya, kami akan bekerja rapat dengan PLUS dan pihak-pihak berkaitan untuk memenuhi permintaan tersebut secepat mungkin."

 

Alizakri seterusnya berkata, "KWSP juga berada dalam kedudukan unik sebagai pemegang Sukuk PLUS. Oleh  demikian, kami akan bekerjasama dengan pemegang-pemegang Sukuk yang lain untuk memastikan kepentingan bersama dilindungi. Berdasarkan pengalaman yang lalu, kami yakin pihak Kerajaan akan menerima baik input daripada kami dan bertindak dengan sewajarnya."
 

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat

[email protected]
17 Januari 2020 
 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.