Kemaskini terakhir : 05/06/2020 9:04     

KWSP MENGALU-ALUKAN USAHA KERAJAAN UNTUK MELINDUNGI MASA DEPAN PERSARAAN GOLONGAN YANG BEKERJA SENDIRI

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalu-alukan pemberian geran padanan oleh Kerajaan untuk pekerja dalam sektor ekonomi gig untuk membuat simpanan KWSP mereka melalui program i-Saraan.

i-Saraan adalah program caruman sukarela KWSP dengan insentif untuk golongan yang bekerja sendiri. Ciri utama kemudahan ini adalah pemberian insentif khas Kerajaan sebanyak 15 peratus (tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setiap tahun) kepada ahli di bawah umur 55 tahun yang telah mendaftar dan mencarum dalam program ini. 

Hari ini, Kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi yang bertujuan menyokong rangka perlindungan sosial untuk sektor ekonomi gig dan menggalakkan pekerja platform gig untuk menyimpan demi masa depan.

Alizakri Alias, Ketua Pegawai KWSP berkata, “Usaha Kerajaan ini  adalah tepat pada masanya bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa dalam sektor pekerjaan. Tahun ini adalah tahun yang tidak menentu dan mencabar buat semua, ditambah pula dengan keadaan pandemik yang telah mengubah landskap pekerjaan kita. Namun, adalah sesuatu yang memberangsangkan apabila kita melihat ramai individu dapat memanfaatkan peluang yang muncul sepanjang tempoh krisis ini.”

“Kami maklum bahawa ramai yang memilih untuk bekerja dengan platform penghantaran makanan dan bungkusan pada masa ini. Pekerja platform gig di Malaysia, terutamanya pemandu dan pengendali penghantaran, telah menjadi nadi ekonomi negara kita dalam bulan-bulan yang mencabar ini. Oleh kerana mereka secara teknikalnya bekerja sendiri, tiada mekanisme formal untuk mereka membuat simpanan bagi masa hadapan,” katanya.

Alizakri menambah, “Kami berharap insentif Kerajaan ini akan mendorong golongan ini untuk mula menabung. i-Saraan adalah caruman secara sukarela, tetapi ahli KWSP di bawah program ini akan mendapat faedah yang sama dengan ahli KWSP yang bekerja sepenuh masa, ditambah dengan sumbangan tambahan daripada Kerajaan untuk memberi insentif kepada mereka agar lebih banyak menabung.”

Untuk maklumat lanjut mengenai i-Saraan, sila layari laman web KWSP di kwsp.gov.my.
 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

5 Jun 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.