Kemaskini terakhir : 01/05/2020 12:02     

KWSP MENGALU-ALUKAN PELANTIKAN YBHG TAN SRI AHMAD BADRI MOHD ZAHIR SEBAGAI PENGERUSI BAHARU BERKUATKUASA 1 MEI 2020

KUALA LUMPUR, 30 April 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalualukan YBhg Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai Pengerusi baharu bermula 1 Mei 2020. Tan Sri Ahmad Badri akan menggantikan Ybhg Tan Sri Samsudin Osman yang akan bersara setelah berkhidmat sebagai Pengerusi KWSP selama 13 tahun dan tiga bulan sejak tahun 2007. 


 
Tan Sri Ahmad Badri, sehingga baru-baru ini, memegang kedudukan Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan dan telah berkhidmat di sana selama hampir 30 tahun. Beliau merupakan ahli Panel Pelaburan KWSP sejak tahun 2014, dan berpengalaman luas dalam bidang pelaburan strategik, pengurusan pinjaman, pasaran kewangan, dan sains aktuari. Tan Sri Ahmad Badri juga menganggotai beberapa lembaga pengarah termasuk Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tenaga Nasional Berhad. 


 
Alizakri Alias, Ketua Pegawai KWSP berkata, “KWSP amat bertuah menerima seorang Pengerusi yang disegani dan berpengalaman yang amat layak untuk memberikan panduan kepada kami dalam waktu mencabar ini. Kami pasti dengan kepimpinan beliau, KWSP akan mencapai tahap kecemerlangan serta perkhidmatan pelanggan yang lebih baik kepada ahli kami.”  


 
Sebagai Pengerusi KWSP terdahulu, Tan Sri Samsudin telah menjadi pemacu utama dalam memastikan serta menekankan tadbir urus yang baik, profesionalisme dan kecemerlangan dalam memenuhi mandat KWSP untuk melindungi simpanan ahli dan memberikan perkhidmatan yang terbaik. Tan Sri Samsudin telah meninggalkan legasi pasukan kerja profesional yang menguruskan salah satu dana simpanan persaraan terbesar dan paling dihormati di dunia. 


 
Alizakri berkata “Tan Sri Samsudin, dengan kebijaksanaan dan bimbingannya yang tegas, telah menjadikan KWSP salah satu organisasi yang paling dihormati di rantau ini. Saya hanya dapat memberikan ucapan penghargaan yang amat mendalam bagi pihak KWSP untuk masa hadapan beliau.” 


 
Selain persaraan Tan Sri Samsudin, KWSP juga ingin mengumumkan persaraan Ybhg Tan Sri Azman Shah Haron, yang telah menganggotai Lembaga KWSP sebagai wakil Majikan sejak tahun 2007. Tan Sri Azman merupakan Presiden Persekutuan Majikan Malaysia dan adalah ahli Lembaga Pengarah pelbagai syarikat, termasuk Alangka-Suka Hotels dan Resorts Bhd, serta pelbagai anak syarikat Advance Synergy Bhd, termasuk Cherating Holiday Villa Bhd. 


 
KWSP mengucapkan jutaan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Samsudin dan Tan Sri Azman di atas sumbangan, kepimpinan bertauladan dan perkhidmatan yang terulung sepanjang mereka berkhidmat di KWSP. 
 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

30 April 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.