Kemaskini terakhir : 07/09/2020 4:00     

PELANJUTAN TARIKH PEMBAYARAN CARUMAN WAJIB BULAN SEPTEMBER HINGGA DISEMBER 2020

KUALA LUMPUR, 7 September 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melanjutkan tarikh untuk majikan membuat bayaran caruman wajib daripada 15 haribulan kepada 30 haribulan bagi bulan September 2020 hingga Disember 2020.

KWSP sebelum ini telah pun melanjutkan tarikh bayaran caruman tersebut bagi bulan April 2020 hingga Ogos 2020, dengan tujuan untuk meringankan beban majikan berikutan keadaan semasa yang tidak menentu disebabkan pandemik COVID-19. Keputusan untuk meneruskan fleksibiliti ini adalah sejajar dengan pengumuman Kerajaan baru-baru ini untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020.

Majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP, perbankan Internet ataupun di kaunter bank yang dilantik.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

7 September 2020

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.