Kemaskini terakhir : 12/03/2019 12:26     

Dakwaan Di Facebook Berkenaan Kehilangan Maklumat Penamaan

Merujuk kepada dakwaan seorang ahli mengenai kehilangan maklumat penamaan isterinya, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) telah membuat siasatan dengan mendapatkan pengesahan daripada cawangan KWSP Kepong serta Jabatan Pendaftaran dan Operasi Sokongan dan mendapati tidak ada berlaku kehilangan maklumat seperti yang didakwa oleh ahli menerusi kenyataan Facebook beliau.

 

Proses membuat penamaan memerlukan ahli menyerahkan dokumen fizikal yang lengkap, iaitu borang Penamaan (KWSP 4) berserta MyKad/ dokumen pengenalan ahli. Kesemua maklumat ini akan diimbas dan dimasukkan ke dalam sistem kami manakala salinan asal akan disimpan dalam arkib. Dalam kes ini, nama benefisiari tidak wujud dalam sistem dan setelah siasatan lanjut, tiada dokumen fizikal yang mempunyai nama isteri ahli seperti yang didakwa bahawa penamaan telah dibuat pada tahun lepas. Borang yang beliau paparkan dalam Facebook adalah borang permohonan penamaan baru yang bertarikh 29 November 2016. Kami telah menyelesaikan permasalahan ini setelah menghubungi terus ahli, yang juga telah bertindak menarik balik dakwaan dan menurunkan posting Facebook beliau.

 

KWSP menekankan bahawa adalah menjadi satu perlanggaran amalan integriti dan tadbir urus kami untuk dengan sengaja memadam, meminda atau mengubah maklumat penamaan ahli atas apa-apa sebab kerana kami menghormati kerahsiaan data ahli. KWSP tidak mendapat apa-apa manfaat dengan menyekat pengeluaran simpanan ahli setelah kematian dan mana-mana akaun yang tidak mempunyai penama dikira sebagai “Tiada Penamaan”. Simpanan persaraan masih disimpan di bawah nama ahli sehingga warisnya tampil membuat permohonan mengikut syarat semasa Pengeluaran Kematian serta proses dan prosedur “Tiada Penamaan.”

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 30 November 2016