Kemaskini terakhir : 15/03/2019 11:26     

Lima Ahli KWSP Disabit Kesalahan Menipu Pengeluaran

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membanteras aktiviti penipuan pengeluaran, lima ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah kerana menipu atau cubaan menipu pengeluaran bagi tempoh Januari hingga Mac 2012 (S1 2012).

 

Semua lima ahli terbabit telah didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991 dan di denda berjumlah RM10,500 oleh mahkamah bagi kesalahan yang melibatkan pengeluaran perumahan KWSP. Tiga daripada lima ahli tersebut berkemungkinan dikenakan hukuman penjara sehingga dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Tindakan mahkamah ini membuktikan komitmen KWSP dalam membanteras penipuan pengeluaran di kalangan ahli serta ketegasan polisi toleransi sifar KWSP terhadap sebarang bentuk penipuan.”

 

“Ahli diingatkan agar menjauhi segala bentuk penipuan pengeluaran memandangkan proses KWSP dirancang secara teliti bagi membolehkan KWSP mengesan ahli yang telah membuat penipuan pengeluaran walaupun selepas simpanan berjaya dikeluarkan. Laporan polis serta tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam penipuan pengeluaran,” kata beliau.

 

Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran daripada akaun simpanan KWSP mereka sendiri. Di bawah Akta KWSP, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

“KWSP menyedari terdapat sebilangan ahli dibantu oleh pihak ketiga atau sindiket yang mensasarkan ahli yang terdesak memerlukan wang. Ahli dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan tipu helah ini, kerana niat mereka bukan untuk membantu tetapi ingin mengambil kesempatan di atas kesusahan yang dialami oleh ahli dengan menawarkan perkhidmatan mengeluarkan simpanan KWSP mereka secara tidak sah dengan bayaran yang tinggi,” kata Nik Affendi.

 

Tambah beliau, ahli yang ingin membuat pengeluaran KWSP agar terus mengunjungi mana-mana cawangan KWSP yang tidak mengenakan sebarang caj untuk perkhidmatannya. Proses permohonan pengeluaran KWSP adalah mudah selagi semua syarat seperti penyerahan dokumen sah dipatuhi. Penggunaan cecair pemadam di atas borang pengeluaran dan dokumen adalah dilarang sama sekali.

 

“Sokongan ahli terhadap usaha KWSP membanteras penipuan pengeluaran amat dialu-alukan. Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan penipuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat,” kata Nik Affendi.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.