Kemaskini terakhir : 08/03/2019 4:07     

Bayaran Caruman Sukarela Secara Fleksibel Mulai 1 Julai 2018

KUALA LUMPUR, 29 Jun 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa berkuatkuasa 1 Julai 2018, had minima RM50 bagi bayaran caruman secara sukarela oleh ahli adalah dimansuhkan. Ini bermakna ahli yang menyumbang secara sukarela ke akaun KWSP melalui Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M), Skim Caruman Pilihan Sendiri, dan Caruman Penambah Simpanan boleh berbuat demikian dalam mana-mana amaun. Walaubagaimanapun, jumlah maksimum terkumpul bayaran caruman secara sukarela tersebut adalah kekal RM60,000 setahun.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “Sedikit simpanan yang diketepikan pada hari ini bakal memastikan kesejahteraan persaraan ahli pada masa akan datang. Oleh itu, fleksibiliti yang diperkenalkan ini bertujuan memastikan ahli dapat menyumbang dalam apa-apa amaun dan pada bila-bila masa mengikut kemampuan mereka dari semasa ke semasa.

 

“Kemudahan untuk mencarum secara sukarela adalah selaras dengan agenda persaraan yang inklusif, kerana ia terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang bekerja di sektor informal ” tambah beliau.

 

Selain pemansuhan jumlah had minima RM50 untuk bayaran caruman sukarela tersebut, skim Caruman Penambah Simpanan kini diperluaskan bagi membolehkan ahli KWSP menambah caruman ke dalam Akaun 1 simpanan KWSP anak ahli. Skim terdahulu hanya terhad kepada penambahan simpanan ke dalam Akaun 1 milik ibubapa atau suami/isteri.

 

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan (CMC) di 03-89226000 atau rujuk laman web KWSP di new.epf.gov.my atau kunjungi mana-mana daripada 67 cawangan KWSP di seluruh negara.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar. KWSP terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.