Kemaskini terakhir : 03/05/2020 9:46     

PEMBAYARAN PENGELUARAN i-LESTARI BERMULA 4 MEI 2020

KUALA LUMPUR, 3 Mei 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa bayaran Pengeluaran i-Lestari yang diluluskan akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula 4 Mei 2020 sehingga 18 Mei 2020. 
 

Ahli akan dimaklumkan melalui kemudahan i-Lestari Online sejurus selepas bayaran dikreditkan ke dalam akaun bank mereka sekiranya akaun mereka adalah aktif dan tidak dibekukan. Tarikh sebenar wang tersedia dalam akaun bank ahli bagi tujuan pengeluaran adalah tertakluk kepada proses pelepasan bayaran di pihak bank masing-masing, yang mungkin mengambil tempoh satu hingga tiga hari dari tarikh KWSP membuat pindahan. 
 

Alizakri Alias, Ketua Pegawai KWSP berkata “Sejak pelancaran i-Lestari pada awal bulan April 2020, kami telah meluluskan lebih 3.51 juta permohonan berjumlah RM1.66 bilion. Pihak KWSP telah mengadakan perbincangan mendalam dengan bank-bank rakan kongsi sepanjang bulan lalu bagi memastikan sistem dan infrastruktur mereka bersedia untuk menerima dan memproses sejumlah besar deposit pada satu-satu masa.” 
 

“Lanjutan daripada perbincangan tersebut, kami telah bersetuju bahawa kaedah terbaik dan paling selamat adalah melalui pindahan dana harian secara berperingkat daripada KWSP ke institusi kewangan. InshaAllah jika semuanya berjalan lancar, dijangkakan keseluruhan proses ini akan diselesaikan dalam masa dua minggu atau lebih awal.”
 

Alizakri berkata, “KWSP memahami keperluan mendesak ahli untuk menggunakan wang bagi melalui waktu mencabar ini walaupun kami khuatir Pengeluaran i-Lestari akan mengurangkan simpanan persaraan mereka. Kami berharap ahli telah berfikir secara mendalam sebelum memutuskan jumlah yang akan dikeluarkan dari Akaun 2 mereka, kerana mereka perlu mengimbangi keperluan tunai semasa dengan keperluan untuk memiliki kewangan yang utuh pada masa depan.”
 

“Setelah PKP ditamatkan, kami menggesa ahli untuk membuat janji temu dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan yang akan membantu mengkaji dan merangka semula rancangan persaraan mereka.”
 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

3 Mei 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.