Kemaskini terakhir : 10/06/2019 2:24     

Kenyataan Media KWSP-PNB Berkenaan Cadangan Pembelian Battersea Power Station

Kami merujuk kepada artikel media berkenaan cadangan penyusunan semula pemilikan dalam projek Stesen Janakuasa Battersea (BPS), seperti yang telah diumumkan oleh SP Setia dan Sime Darby Property kepada Bursa Malaysia pada 18 Januari 2018.

 

  1. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengesahkan bahawa kedua-duanya telah menandatangani Terma Utama (Heads of Terms - HoT) dengan Battersea Phase 2 Holding Company Limited bagi memulakan rundingan awal untuk memperoleh aset komersial dalam Fasa 2 pembangunan BPS untuk anggaran sebanyak £1.608 bilion (bersamaan dengan RM8.76 bilion). HoT tersebut adalah perjanjian yang tidak terikat (non-binding) dan kesemua syarat dan terma adalah tertakluk kepada proses ketekunan wajar (due diligence) dan perbincangan selanjutnya.
  2. KWSP adalah sebahagian daripada konsortium pemaju yang terdiri daripada SP Setia dan Sime Darby dalam pembangunan BPS yang telah bermula sejak 2012, dengan keseluruhan pembangunan merangkumi Fasa 1 sehingga Fasa 7. Pemilikan langsung KWSP adalah 20 peratus daripada pembangunan BPS dan penyusunan semula ini tidak akan menjejaskan pegangan saham KWSP dalam pembangunan keseluruhan yang sedia ada.
  3. Manakala, PNB pula adalah pemegang saham majoriti dalam S P Setia dan Sime Darby Property yang mempunyai pemilikan bersama sebanyak 80 peratus saham dalam pembangunan BPS tersebut.
  4. Pembangunan Fasa 1 BPS merangkumi sebahagian besar unit kediaman, telah disiapkan dengan kadar pendaftaran pembelian mencecah 100 peratus dan berjaya diserahkan kepada pembeli pada suku tahun terakhir 2017, manakala komponen unit kediaman Fasa 2 telah hampir 100 peratus habis dijual. Dalam pada itu, modal permulaan yang dilaburkan ke dalam projek tersebut oleh konsortium pemaju telah dilaburkan semula untuk tujuan memajukan fasa-fasa seterusnya.
  5. KWSP dan PNB kini mempertimbangkan untuk memperolehi pemilikan dalam Fasa 2 pembangunan BPS – yang dikenali sebagai bangunan janakuasa – yang menjadi teras kepada projek utama yang merangkumi premis runcit dan pejabat. KWSP dan PNB melihat ini sebagai peluang strategik untuk memiliki aset hartanah yang unik dan ikonik yang dijangka boleh menjana aliran pendapatan yang mapan pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan pendapatan masing-masing.
  6. Fasa 2 pembangunan projek ini dijangka siap menjelang hujung tahun 2020 dan telah pun disewakan kepada penyewa utama seperti Apple, salah satu daripada syarikat teknologi terkemuka di dunia, seluas 500,000 kaki persegi - iaitu ruang pejabat yang paling besar di London. Ini dilihat sebagai langkah permulaan ke arah masa depan yang memberangsangkan bagi bakal pelabur pembangunan BPS.
  7. Harga belian yang masih tertakluk kepada usaha ketekunan wajar (due diligence) selanjutnya, telah dirangka berdasarkan bangunan siap disewa, agar dapat memberi pulangan jangka panjang yang menarik bagi para pelabur.
  8. Selaras dengan program diversifikasi syarikat sejak kebelakangan ini, KWSP telah giat memperluaskan aset hartanah dan infrastrukturnya di dalam dan di luar negara bagi menjana pendapatan jangka panjang mapan bagi manfaat ahli. Transaksi yang dicadangkan adalah selaras dengan Pelan Strategik STRIVE-15 PNB yang menggariskan strategi jangka panjang untuk mempelbagaikan portfolio dan peluasan pelaburan dalam aset global secara berhemah.
  9. KWSP dan PNB ingin menegaskan bahawa keputusan untuk meneroka penyusunan semula pemilikan dalam pembangunan BPS merupakan keputusan pelaburan semata-mata yang dimulakan oleh Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan BPS, bersama dengan KWSP dan PNB, dan dilaksanakan tanpa sebarang campur tangan daripada pihak Kerajaan.
  10. KWSP dan PNB terus teguh dan komited dalam mendokong kepercayaan ahli-ahli dan pemegang unit masing-masing, dan sebarang tanggapan bahawa keputusan pelaburan telah dibuat berasaskan sebab-sebab selain daripada untuk manfaat rakyat Malaysia adalah palsu dan berniat jahat.

 

Terima kasih.

Dikeluarkan bersama oleh KWSP dan PNB

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.

 

Mengenai Permodalan Nasional Berhad (PNB)

Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah salah satu syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia yang mempunyai aset di bawah pengurusan (AUM) yang kini mencapai lebih RM279 bilion. Portfolio PNB meliputi pelaburan strategik dalam syarikat korporat terkemuka Malaysia, ekuiti global, pelaburan swasta dan hartanah. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.pnb.com.my.

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

1. Shahimah Shaharuddin, Timbalan Pengurus, Jabatan Hal Ehwal Korporat |[email protected] | 03-2616 6202

2. Sherilyn Goh, Penolong Pengurus, Jabatan Hal Ehwal Korporat| [email protected] | 03-2616 1893

 

Permodalan Nasional Berhad

3. Aimi Aziz, Naib Presiden, Jabatan Komunikasi | [email protected] | 03-2050 5327

4. Natalia Ghani, acorn communications | [email protected] | +6012-231 4782