Kemaskini terakhir : 06/12/2019 5:00     

KWSP buka cawangan baharu PJ di PJX-HM Shah Tower

KUALA LUMPUR, 6 Disember 2019:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuka cawangan baharu Petaling Jaya di PJX-HM Shah Tower, Persiaran Barat pada 2 Disember 2019.

 

Direka sebagai pusat yang dikhaskan untuk ahli, pejabat KWSP itu akan dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8.15 pagi sehingga 5.15 petang. Perkhidmatan kaunter pula beroperasi bermula 8.30 pagi sehingga 4.30 petang, Isnin hingga Jumaat. Antara servis yang ditawarkan di cawangan ini termasuk pendaftaran, penamaan, pengeluaran serta Perkhidmatan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS).

 

Pihak majikan disarankan untuk melakukan transaksi di Pejabat Penguatkuasaan KWSP Cawangan Petaling Jaya di Tingkat 9 & 10, Blok 1A, Plaza Sentral, Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral. 

 

Cawangan terbaru KWSP PJ ini menggantikan KWSP Jalan Gasing yang ditutup selepas kejadian kebakaran pada Februari 2018. Pejabat bersejarah enam tingkat ini yang dibina pada tahun 1960 telah berfungsi sebagai ibu pejabat KWSP selama 35 tahun sebelum berpindah ke ibu pejabat di lokasi semasa di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. 

 

Ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000, merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau berkunjung ke mana-mana kaunter KWSP seluruh negara untuk maklumat lanjut mengenai produk atau servis KWSP.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk 
[email protected]
Jabatan Hal Ehwal Korporat
6 Disember 2019 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana profesional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur dalam kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangn di peringkat negara.