Kemaskini terakhir : 21/06/2022 3:43     

KWSP CATAT RM15.85 BILION PENDAPATAN PELABURAN KASAR UNTUK S1 2022

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2022: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM15.85 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2022 (S1 2022), lebih rendah daripada RM19.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2021, didorong oleh kemerosotan ketara dalam pasaran dunia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Kami memulakan awal suku tahun pertama dengan kukuh, tetapi keadaan berubah dengan mendadak apabila pasaran global mengalami kemerosotan, menyebabkan pulangan yang lebih rendah dalam bon dan ekuiti sepanjang baki suku tahun pertama.

 

“Penurunan ini adalah disebabkan oleh beberapa perkembangan yang berpunca daripada ketegangan geopolitik, serta kesan daripada kenaikan kadar inflasi dan kenaikan kadar faedah. Perang Rusia-Ukraine hanya memburukkan lagi keadaan, menyebabkan ketidaktentuan terus berlanjutan pada masa negara-negara masih bergelut untuk pulih daripada beban hutang yang tinggi dan kewangan awam yang terjejas oleh krisis pandemik.”

 

Walaupun penjanaan pendapatan daripada ekuiti, yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan KWSP, terjejas oleh kelembapan pasaran, Datuk Seri Amir Hamzah berkata KWSP berjaya memanfaatkan kedudukan portfolionya untuk menjana keuntungan tambahan.

 

Pada suku tahun yang dikaji, Ekuiti menyumbang sebanyak RM10.46 bilion, iaitu 66% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar. Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, pendapatan pelaburan bersih bagi kelas aset ini menjana RM9.37 bilion untuk tempoh tersebut.

 

Sebanyak RM1.09 bilion telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tahun tersebut, sekaligus menjadikan jumlah pendapatan pelaburan bersih pada S1 2022 kepada RM14.76 bilion. Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemat untuk memastikan portfolionya kekal sihat.

 

Instrumen Pendapatan Tetap, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta Pinjaman dan Bon, menyumbang pendapatan tetap sebanyak RM4.75 bilion, atau 30% kepada pendapatan pelaburan kasar. Pendapatan yang direkodkan adalah lebih tinggi berbanding RM3.89 bilion yang dijana pada S1 2021, sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil pasaran yang lebih tinggi pada S1 2022, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan penurunan dalam pendapatan kepada RM0.36 bilion, daripada RM0.71 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021. Pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang pula mencatatkan RM0.28 bilion, daripada RM0.38 bilion pada S1 2021.

 

Sehingga Mac 2022, keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.02 trilion, di mana 37% dilaburkan dalam pelaburan luar negara. Pendiversifikasian KWSP ke dalam pelbagai kelas aset, pasaran, dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan tambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP. Pada S1 2022, pelaburan luar negara KWSP menjana pendapatan sebanyak RM8.23 bilion, mewakili 52% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

 

Sejumlah RM1.88 bilion daripada RM15.85 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Shariah, dan RM13.97 bilion untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh kesemua pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah sahaja, manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua bahagian portfolio Syariah dan Konvensional.

 

Fokus kepada mengekalkan pertumbuhan dan membina semula simpanan ahli

Untuk suku tahun berikutnya, KWSP akan mengambil langkah waspada dalam menangani risiko berkaitan pemulihan pasca-pandemik serta perbalahan di Ukraine. Kebimbangan sekitar inflasi, gangguan rantaian bekalan, dan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat berkemungkinan menjejaskan arah aliran positif dalam kedua-dua pasaran ekuiti dan bon.

 

Datuk Seri Amir Hamzah berkata KWSP kekal optimistik dengan prospek pertumbuhan Malaysia, terutamanya berikutan pembukaan semula ekonomi dan sektor sosial, yang dijangka meningkat pada tahun ini berikutan peningkatan permintaan dalam dan luar negera, sejajar dengan unjuran pertumbuhan Kerajaan antara 5.3% dan 6.3% bagi tahun 2022. Lanjutan daripada prestasi pasaran ekuiti yang lemah, beliau berkata KWSP akan terus mengimbangi semula kedudukan dananya dalam saham yang pada asasnya kukuh tetapi dinilai rendah.

 

“Kami yakin dengan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Malaysia, seperti memastikan keterbukaan perdagangan dan mempelbagaikan asas eksport, untuk memastikan Pelan Pemulihan Nasional berada di landasan yang betul. Rizab antarabangsa negara yang kukuh dan sektor kewangan yang berdaya tahan adalah antara asas kukuh yang akan menyokong usaha pemulihan,” kata Datuk Seri Amir Hamzah, dengan menambah bahawa langkah pemulihan integratif yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan akan membantu dalam memantapkan ekonomi negara terhadap gangguan luar.

 

Sebagai salah satu tunggak rangka kerja sosio-ekonomi dan keselamatan sosial negara, prestasi dana KWSP dan sokongannya terhadap pasaran modal domestik adalah penting kepada kejayaan ekonomi negara. Datuk Seri Amir Hamzah berkata bahawa empat kemudahan pengeluaran pandemik - i-Lestari, i-Sinar, i-Citra, dan Pengeluaran Khas - telah membantu ahli semasa wabak itu, tetapi memandangkan negara telah memasuki fasa endemik, tumpuan kini perlu disalurkan kepada membantu ahli membina semula simpanan mereka.

 

“Selain mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan masa depan ahli, KWSP juga perlu memastikan ia dapat mengekalkan prestasinya pada masa hadapan. Sebarang pengeluaran tambahan akan memberi impak terhadap kewangan KWSP dan melemahkan kedudukan portfolio semasa dan keupayaannya untuk menjana pulangan yang mampan. Kami akan terus memastikan kesihatan kewangan dan kepelbagaian portfolio global KWSP berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), agar kami dapat mengatasi ketidaktentuan dalam mencapai objektif portfolio jangka panjang,” tambah Datuk Seri Amir Hamzah.

 

Prestasi S1 2022 KWSP
Portfolio % Aset dalam Jumlah Pelaburan Aset Pendapatan pelaburan kasar (RM bilion) % Pendapatan
Ekuiti 44% 10.46 66%
Instrumen Pendapatan Tetap* 45% 4.75 30%
Instrumen Pasaran Wang 5% 0.28 2%
Hartanah dan Infrastruktur 6% 0.36 2%
Jumlah 100% 15.85 100%

 

 

*Sumbangan dari Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf 

 


Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
21 Jun 2022

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.