Kemaskini terakhir : 07/10/2022 10:09     

KWSP CATAT RM27 BILION PENDAPATAN PELABURAN KASAR UNTUK SEPARUH PERTAMA 2022; WASPADA DENGAN PERTUMBUHAN GLOBAL UNTUK SEPARUH KEDUA 2022 DAN 2023

KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2022: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM27.00 bilion bagi separuh pertama tahun ini berakhir 30 Jun 2022 (separuh pertama 2022), penurunan sebanyak RM7.06 bilion, atau 21%, berbanding RM34.06 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021, hasil daripada reaksi pasaran terhadap peningkatan risiko pertumbuhan global yang lebih perlahan dan inflasi tinggi yang tidak dialami oleh ekonomi utama sejak 1970-an. Risiko-risiko ini termasuk konflik Ukraine-Rusia yang berlarutan, yang menjejaskan rantaian bekalan global dan menyebabkan harga meningkat; kenaikan kadar inflasi global yang mencecah paras tertinggi dalam beberapa dekad; dan kenaikan kadar faedah secara berperingkat oleh bank-bank pusat, sebahagiannya sebagai respon terhadap kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (the Fed) dan sebahagiannya untuk mengekang tekanan inflasi.

 

Sejak awal tahun, risiko-risiko ini telah diramal akan berlaku, namun kepantasan ianya menjadi kenyataan adalah di luar jangkaan, seperti magnitud dan kelajuan kenaikan kadar faedah Fed AS. Semua faktor ini telah meningkat dengan mendadak dan menyebabkan kebanyakan pasaran modal mencatatkan separuh pertama tahun yang paling teruk dalam beberapa dekad, dengan saham AS merekodkan prestasi terburuk dalam lebih 50 tahun.

 

Tidak terkecuali daripada impak pasaran global, jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP bagi suku kedua (S2 2022) adalah RM11.14 bilion, turun sebanyak RM3.63 bilion daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu. Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2022 pada RM4.88 bilion, merangkumi 44% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku tahun yang dikaji.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Jangkaan pertumbuhan global telah terjejas, seterusnya mencetuskan penjualan berterusan dalam pasaran global. Aliran menurun yang konsisten ini telah menjejaskan penjanaan pendapatan KWSP daripada portfolio ekuitinya, terutamanya daripada pasaran global yang telah merosot dalam julat 17% dan 21% dalam separuh pertama 2022. Namun, pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza, seperti yang ditetapkan dalam Alokasi Aset Strategik (SAA) telah membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap keadaan pasaran yang tidak menentu di samping melindungi pulangan pelaburan jangka panjangnya.”

 

Ekuiti Persendirian yang merupakan sebahagian daripada kelas aset Ekuiti, telah berupaya memberikan pulangan yang sihat sebanyak RM1.15 bilion, peningkatan lebih 100% berbanding RM0.54 bilion yang dicatatkan pada S2 2021. Portfolio ini menjadi semakin lebih penting untuk KWSP dalam usaha kepelbagaiannya kerana ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti tersenarai kekal tinggi.

 

Instrumen Pendapatan Tetap, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta Pinjaman dan Bon, terus memberikan aliran pendapatan yang stabil, mengurangkan impak daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek dan memberikan kestabilan kepada keseluruhan pendapatan KWSP. Kelas aset ini membawa fungsi perlindungan modal dan telah menjadi teras kepada KWSP di samping menyumbang kepada sebahagian besar daripada pendapatan pelaburan kasar bagi S2 2022, merekodkan 42% daripada jumlah pendapatan atau RM4.73 bilion.

 

Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan RM1.20 bilion, manakala pendapatan daripada Instrumen Pasaran Wang meningkat kepada RM0.33 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.

 

Pada S2 2022, pelaburan luar negara KWSP, yang merangkumi 36% daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menjana pendapatan RM5.51 bilion, mewakili 49% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

 

Sejumlah RM1.16 bilion daripada RM11.14 bilion pendapatan pelaburan kasar telah dijana untuk Simpanan Shariah pada S2 2022, dan RM9.98 bilion untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh kesemua pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah sahaja, manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua bahagian portfolio Syariah dan Konvensional.

 

Dengan mengambil kira kesan RM2.15 bilion yang telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tersebut, jumlah pendapatan pelaburan KWSP pada S2 2022 ialah RM8.98 bilion. Penurunan Kos ialah polisi dalaman yang digunakan oleh KWSP ke atas pelaburan Ekuiti tersenarainya sebagai langkah untuk memastikan portfolionya kekal sihat.

 

Sehingga Jun 2022, aset di bawah pengurusan KWSP ialah RM957.25 bilion, setelah mengambil kira pengeluaran berkaitan pandemik yang berjumlah RM44.6 bilion. Bagaimanapun, pertumbuhan aset KWSP kekal sihat kerana caruman yang diterima sebanyak RM43.23 bilion setakat Jun 2022 yang disokong dengan pendapatan daripada pelaburannya. 


Memanfaatkan pemulihan Malaysia yang mantap
KWSP mengekalkan pandangan positif terhadap pasaran tempatan dan percaya pemulihan ekonomi Malaysia akan berterusan untuk baki tahun 2022, berikutan pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh sebanyak 8.9% bagi suku kedua. Data ekonomi terkini juga menandakan kemungkinan besar pertumbuhan tahun penuh Malaysia akan berada pada julat yang lebih tinggi daripada ramalan rasmi 5.3% dan 6.3% pada 2022. 

 

Walau bagaimanapun, KWSP tetap berwaspada terhadap risiko utama yang terus menggugat pasaran dan sentimen pelabur seperti peningkatan tinggi kadar inflasi global, ketegangan geopolitik dan pengetatan dasar monetari. Harga minyak mentah telah menyaksikan penurunan di sebalik ancaman kemelesetan ekonomi yang semakin meningkat. Kenaikan kadar faedah yang lebih agresif oleh bank-bank pusat dijangka memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan memberi kesan terhadap pasaran ekuiti dan pasaran pendapatan tetap.

 

“Prestasi pasaran masih tidak menentu dan walaupun kami prihatin dengan perkembangan ini, kami mengekalkan pandangan jangka panjang dan mengambil pendekatan yang seimbang dalam keputusan pelaburan kami kerana terdapat banyak peluang yang kami boleh manfaatkan dalam situasi yang mencabar ini,” kata Datuk Seri Amir Hamzah. 

 

“Sebagai dana persaraan, strategi menyeluruh KWSP adalah untuk memberi fokus kepada pelaburan dan pulangan jangka panjang yang mampan. Kami akan mengambil setiap langkah untuk memastikan kewangan kami kekal kukuh dan berdaya tahan terhadap sebarang risiko ketidaktentuan dan cabaran jangka pendek.”

 

Pemulihan merangsang pertumbuhan pekerjaan, meningkatkan liputan keahlian
Pemulihan pesat pasaran buruh juga membantu merangsang pertumbuhan domestik, dengan bilangan pekerja meningkat 3.2% kepada 15.7 juta orang1. Peningkatan ini telah membantu KWSP untuk meningkatkan jumlah keahlian selain menggalakkan ahli mencarum secara sukarela melebihi kadar berkanun bagi menambah simpanan persaraan mereka.

 

Keahlian KWSP menunjukkan pertumbuhan yang stabil sejak lima tahun lalu dengan CAGR sebanyak 2.0%. Ini disumbangkan oleh pertumbuhan pendaftaran ahli baharu yang kukuh sebanyak 177,230 pada suku kedua 2022 dan sebanyak 323,416 pada separuh pertama 2022, seterusnya membawa jumlah keseluruhan ahli KWSP setakat Jun 2022 meningkat kepada 15.5 juta. Daripada jumlah itu, seramai lapan (8) juta adalah ahli aktif2, paras yang tertinggi dicatatkan dalam tempoh lima tahun terakhir, daripada 7.2 juta pada tahun 2018. Anggaran gaji ahli aktif juga mencerminkan pemulihan ekonomi, dengan gaji median mencapai pertumbuhan purata 6% dalam tempoh 12 bulan hingga Jun 2022. Pertumbuhan gaji ini berlaku secara meluas merangkumi keseluruhan spektrum pendapatan ahli aktif.

 

Kadar pendaftaran untuk kedua-dua program caruman sukarela KWSP juga menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tahun lepas. Pendaftaran baharu i-Saraan telah meningkat daripada 17,142 pada separuh pertama 2021 kepada 311,028 pada separuh pertama 2022, manakala pendaftaran baharu Kasih Suri Keluarga Malaysia KWSP meningkat daripada 1,521 kepada 33,875 dalam tempoh yang sama. i-Saraan ialah program caruman sukarela untuk membolehkan pekerja di sektor tidak formal atau tidak mempunyai pendapatan formal untuk menyimpan untuk persaraan mereka dengan KWSP, manakala Kasih Suri Keluarga Malaysia KWSP adalah insentif yang disediakan khas untuk suri rumah yang berdaftar di bawah Program e-Kasih untuk menyimpan dengan KWSP untuk kesejahteraan masa depan mereka.

 

Data majikan di KWSP juga mencerminkan pemulihan kukuh dalam aktiviti ekonomi. Pendaftaran majikan baharu juga mencatatkan pertumbuhan paling kukuh dalam lima tahun iaitu 50,429 sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini. Sehingga Jun 2022, bilangan majikan aktif mencecah 572,847.

 

“Dari aspek operasi, kami fokus terhadap membantu membina semula kecukupan simpanan masa depan ahli dan meluaskan perlindungan KWSP melalui inisiatif strategik yang merangkumi panduan celik kewangan dan penambahbaikan produk dan servis kami,” kata Datuk Seri Amir Hamzah.

 

PRESTASI S2 2022 KWSP
Portfolio % Aset dalam jumlah pelaburan aset Pendapatan pelaburan kasar 
(RM bilion)
% Pendapatan
Ekuiti 43% 4.88 44%
Instrumen Pendapatan Tetap* 48% 4.73 42%
Instrumen Pasaran Wang 2% 0.33 3%
Hartanah dan Infrastruktur 7% 1.20 11%
Jumlah 100% 11.14 100%

 

* Sumbangan dari Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf 

 

 

PENDAFTARAN AHLI/ MAJIKAN KWSP PADA S2 2022
Indikator S2 2021
(setakat Jun 2021)
S2 2022
(setakat Jun 2022)
Peningkatan
(S2 2021 dan S2 2022)
1. Ahli      
Jumlah ahli 15,065,971 15,456,701 2.59%
Ahli aktif 7,632,369 8,000,403 4.82%
Pendaftaran ahli baharu 208,711 323,416 54.96%
2. Majikan      
Jumlah majikan 541,188 572,847 5.85%
Pendaftaran majikan baharu 36,314 50,429 38.87%

 

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
7 Oktober 2022

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

 


1. Sorotan Pasaran Buruh Suku Kedua 2022; Tarikh dikeluarkan 19 Ogos 2022; Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

2. Ahli aktif merujuk kepada ahli yang mencarum sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan