Kemaskini terakhir : 24/09/2021 3:41     

KWSP CATAT RM34.05 BILION PENDAPATAN PELABURAN BAGI SEPARUH TAHUN PERTAMA 2021

KUALA LUMPUR, 24 September 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion untuk separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2021 (1H 2021), iaitu peningkatan sebanyak RM6.79 bilion atau 25%, berbanding RM27.26 bilion bagi tempoh yang sama pada 2020.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku tahun kedua (S2 2021) adalah RM14.77 bilion, RM0.35 bilion lebih rendah daripada RM15.12 bilion yang dicatatkan pada suku tahun yang sama tahun lalu. Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan untuk S2 2021, sebanyak RM7.89 bilion, yang merangkumi 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

Sebagai polisi untuk mengekalkan portfolio yang sihat, KWSP telah mengamalkan turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai. Turun nilai kos pada S2 2021 adalah sebanyak RM0.21 bilion berbanding RM1.66 bilion untuk suku tahun yang sama pada 2020, berikutan pemulihan pasaran global yang berterusan. Setelah mengambil kira turun nilai kos ini, sejumlah RM14.56 bilion pendapatan pelaburan bersih telah dicatatkan pada S2 2021[1], iaitu 8% lebih tinggi daripada RM13.46 bilion yang dicatatkan pada S2 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Prestasi kukuh yang dicapai oleh KWSP pada 1H 2021 ini adalah dipacu oleh pemulihan progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas-kelas aset yang lain, tatkala pasaran global mengalami kebangkitan semula.

“Pelaksanaan program vaksin COVID-19 yang sedang giat dijalankan, di samping pembukaan semula sektor ekonomi, telah meningkatkan prestasi ekuiti di pasaran maju. Walau bagaimanapun, prestasi ekuiti di pasaran baru muncul adalah lebih lembab berikutan peningkatan kes COVID-19 di beberapa negara di Asia Tenggara, dan disusuli pula oleh kejatuhan harga saham yang ketara akibat tindakan pihak berkuasa China yang mengetatkan peraturan ke atas sesetengah sektor.”

Instrumen Pendapatan Tetap terus menyumbang pendapatan yang stabil sebanyak RM5.28 bilion, atau 36%, kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada S2 2021. Ini adalah lebih rendah berbanding RM6.17 bilion yang dicatatkan pada S2 2020, berikutan pengurangan keuntungan dagangan, selaras dengan kadar faedah yang lebih tinggi pada S2 2021, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.


Hartanah dan Infrastruktur, dan instrumen Pasaran Wang, pula masing-masing mencatatkan pendapatan RM1.40 bilion dan RM0.20 bilion.


Kepelbagaian pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan menyumbang nilai tambah kepada pulangan keseluruhan. Setakat akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM989.14 bilion, yang mana 37% adalah pelaburan di luar negara. Pada S2 2021, pelaburan luar negara telah menjana pendapatan sebanyak RM8.71 bilion, iaitu 59% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan.


Bagi membantu ahli yang terkesan oleh pandemik, KWSP telah melancarkan kemudahan i-Sinar dan i-Citra yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan ahli. Setakat ini, sebanyak RM67.6 bilion telah dikeluarkan:

Kemudahan

Jumlah Pemohon (juta)

Jumlah amaun diluluskan (RM bilion)

Jumlah amaun dibayar (RM bilion)

i-Citra

5.0

20.8

9.1

i-Sinar

6.6

58.8

58.5

Sekitar 89% pemohon i-Sinar dan 86% pemohon i-Citra telah menyatakan bahawa pengeluaran yang dibuat telah digunakan untuk menampung perbelanjaan harian atau keperluan kewangan yang mendesak.

Prospek sehingga akhir 2021

Untuk separuh tahun 2021 berikutnya, Datuk Seri Amir Hamzah menerangkan bahawa keberkesanan usaha pemulihan negara adalah bergantung kepada perkembangan situasi COVID-19 dalam masa terdekat ini.

“Walaupun kami yakin bahawa pakej rangsangan dan inisiatif Kerajaan akan dapat membantu meningkatkan sentimen perniagaan dan permintaan dalam negeri, kami amat bimbang dengan keselamatan persaraan rakyat, terutamanya apabila 46% ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.


“Pandemik ini telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36% kepada 27%, susulan daripada pengeluaran yang telah dibuat bagi menampung pendapatan mereka semasa krisis COVID-19 ini. Pandemik ini juga telah mencetuskan peningkatan jumlah pekerja gig di negara ini, dan biarpun ia membantu mereka untuk bertahan, ramai yang berhadapan dengan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan yang tidak tetap atau stabil. Selain itu, manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial mereka juga bakal terjejas.


“Kesannya bukan sahaja terhadap kesejahteraan masa depan pekerja, malahan akan membebankan pihak Kerajaan. Strategi utama KWSP di masa hadapan adalah untuk memastikan pekerja gig serta mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk diserap ke dalam Skim KWSP agar mereka juga berpeluang menabung seawal mungkin dan merancang persaraan mereka,” kata beliau, dan menambah bahawa penyelesaian jangka masa panjang amat diperlukan bagi memastikan perlindungan sosial yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.


“Ketika kita sedang pulih daripada krisis, fokus KWSP adalah untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka agar mereka memperoleh persaraan yang bermaruah. Kami akan tetap fokus kepada Alokasi Aset Strategik kami dan sentiasa peka terhadap perkembangan profil risiko pasaran agar penambahbaikan dapat dilakukan. Di samping itu,matlamat asas KWSP untuk menjana pulangan dan melindungi kesejahteraan masa depan ahli dapat dipenuhi,” tambah beliau.


 

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
24 September 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

 

LAMPIRAN 1

Ringkasan Prestasi KWSP untuk S2 2021

S2 2021

Portfolio

% Jumlah Aset Pelaburan

Pendapatan Pelaburan Kasar

(RM bilion)

% Pendapatan

Ekuiti

44%

7.89

53

Instrumen Pendapatan Tetap*

46%

5.28

36

Instrumen Pasaran Wang

4%

0.20

2

Hartanah & Infrastruktur

6%

1.40

9

Jumlah

100%

14.77

100%

* Sumbangan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf

Turun nilai kos kumulatif

 S2 2020

Perbandingan

S2 2021

6.32

Turun nilai kos kumulatif (RM bilion)

0.25

1.66

Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai (RM bilion)

0.21

20.94

Pendapatan pelaburan bersih kumulatif setelah turun nilai (RM bilion)

33.80

* Turun nilai kos adalah polisi dalaman KWSP dalam pelaburan Ekuiti Tersenarai sebagai langkah berhemat untuk memastikan portfolio kekal sihat. Turun nilai yang ketara pada tahun 2020 telah membolehkan KWSP memperoleh keuntungan modal yang lebih tinggi semasa pemulihan pasaran, seperti yang berlaku pada 1H 2021.

 

LAMPIRAN 2

Data KWSP berkenaan Ketidakcukupan Pendapatan Persaraan Ahli

Statistik Ahli berumur di bawah 55 tahun (setakat 31 Ogos 2021)

No

Julat simpanan

Jumlah Ahli di bawah 55 tahun (Juta)

% Jumlah Ahli di bawah 55 tahun

1.

Kurang daripada RM10,000

5.80

46

a) <RM1,000

2.37

19

b) >RM1,000 hingga RM5,000

2.32

18

c) >RM5,000 hingga RM10,000

1.11

9

2.

Melebihi RM10,000

6.83

54

Jumlah

12.63

100