Kemaskini terakhir : 05/12/2022 2:32     

KWSP CATAT RM39.31 BILION PENDAPATAN PELABURAN KASAR UNTUK 9B 2022

KUALA LUMPUR, 5 Disember 2022: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022 (9B 2022), menurun 18% atau RM8.71 bilion, berbanding RM48.02 bilion dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2021.

 

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga (S3 2022) berakhir 30 September 2022 adalah berjumlah RM12.32 bilion, menurun sebanyak RM1.65 bilion atau 12%, berbanding RM13.97 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021. Walau bagaimanapun, ini juga mewakili peningkatan 11% berbanding S2 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Berikutan keadaan pasaran pelaburan ekuiti dan pendapatan tetap yang stabil, KWSP telah mencatatkan prestasi suku ketiga yang lebih baik daripada pendapatan pelaburan kasar suku sebelumnya sebanyak RM11.14 bilion.

 

“Terdapat kebimbangan bahawa kadar faedah yang lebih tinggi akan mendorong kepada kemelesetan global, ditambah dengan risiko geopolitik yang berterusan dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (The Fed). Walau bagaimanapun, di sebalik cabaran ini, pendekatan pelaburan KWSP yang berdisiplin, berpandukan Alokasi Aset Strategik yang mantap dan pengurusan portfolio yang aktif, membantu mengurangkan impak dan membolehkan KWSP memberikan prestasi yang stabil didorong oleh lonjakan kukuh dalam pasaran domestik.”

 

Dalam suku tahun yang dikaji, Ekuiti menyumbang RM5.49 bilion, merangkumi 45% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar. Di sebalik peningkatan ketidaktentuan pasaran, KWSP berjaya mencatatkan pertumbuhan suku ke suku yang sihat sebanyak 13% untuk pendapatan pelaburan kasar daripada portfolio ekuitinya. Ekuiti Persendirian, yang merupakan sebahagian daripada kelas aset ini, telah berjaya memberikan pendapatan direalisasi yang memberangsangkan sebanyak RM1.09 bilion atau 20% daripada jumlah pendapatan Ekuiti yang dicatatkan pada suku tahun tersebut. Portfolio ini menjadi semakin penting untuk KWSP dalam usaha kepelbagaiannya kerana ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti tersenarai kekal tinggi.

 

Instrumen Pendapatan Tetap, kekal sebagai tunjang kepada KWSP dalam memelihara modal dan memberikan aliran pendapatan yang stabil, mengurangkan kesan daripada turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP. Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 39% daripada jumlah pendapatan, atau RM4.77 bilion, kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP bagi S3 2022.

 

Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan RM1.67 bilion, manakala pendapatan daripada Instrumen Pasaran Wang menjana RM0.39 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.

 

Pada S3 2022, pelaburan luar negara KWSP yang membentuk 36% daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menjana pendapatan RM5.28 bilion, mewakili 43% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.


 
Sebanyak RM1.42 bilion daripada RM12.32 bilion dalam pendapatan pelaburan kasar, dijana untuk Simpanan Shariah pada S3 2022, dan RM10.90 bilion untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh kesemua pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah sahaja, manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua bahagian portfolio Shariah dan Konvensional.

 

Dengan mengambil kira kesan RM36 juta yang telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tersebut, jumlah pendapatan pelaburan KWSP pada S3 2022 ialah RM12.28 bilion, naik 37% daripada RM8.98 bilion yang dicatatkan pada S2 2022. Penurunan kos ialah polisi dalaman yang diterima pakai oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarai sebagai langkah berhemat untuk memastikan kesihatan portfolionya.

 

Sehingga September 2022, aset di bawah pengurusan KWSP ialah RM961.01 bilion. Di sebalik cabaran makroekonomi, pertumbuhan aset KWSP kekal sihat kerana caruman yang diterima sehingga September 2022 adalah RM63.61 bilion, lebih baik dari yang dijangkakan.

 

Meraih manfaat dari pemulihan kukuh Malaysia
Prestasi KDNK suku ketiga 2022 Malaysia, yang meningkat sebanyak 14.2% berbanding 8.9% pada suku kedua, disusuli dengan lonjakan kukuh dalam pasaran buruh, seterusnya menunjukkan bahawa ekonomi asas telah pulih daripada pandemik, seperti yang dapat dilihat daripada peningkatan positif dalam FBMKLCI sejak September.

 

Datuk Seri Amir Hamzah berkata pemulihan ekonomi negara menyediakan landasan baik kepada pelaburan dan peluang yang akan menjana aktiviti ekonomi, pekerjaan, dan pergerakan insan dan barangan yang lebih pantas. Beliau menambah bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk pelabur institusi seperti KWSP untuk menggubal strategi perniagaannya untuk keteguhan jangka pendek di samping mengekalkan daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang.

 

“Dari aspek pelaburan, KWSP mengekalkan daya tahan dan fokus terhadap perkara yang boleh kami kawal iaitu peruntukan aset, kos, dan strategi menyeluruh yang memberi penekanan terhadap kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik kami.

 

“Walaupun ketidaktentuan pasaran global terus menjadi kebimbangan, kami mengambil sikap berwaspada tetapi optimis dengan tidak mengabaikan petunjuk yang mencadangkan penambahbaikan kepada prospek ekonomi makro seperti kemungkinan kemuncak inflasi global dan jangkaan The Fed bahawa kenaikan kadar faedah akan mula perlahan dalam beberapa bulan akan datang.”

 

Peningkatan berterusan dalam pengkalan ahli aktif
KWSP terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam pendaftaran ahli baharu sebanyak 510,354 bagi tempoh Januari hingga September 2022, menjadikan jumlah ahli KWSP pada 30 September 2022 sebanyak 15.61 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak 8.26 juta adalah ahli aktif1, yang kini mewakili 50% daripada 16.44 juta tenaga buruh Malaysia setakat September 20222.

 

Pemulihan Malaysia yang stabil dalam keadaan pasaran buruh dan sokongan dasar yang berterusan membantu KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, iaitu pada 53%:47% pada September 2022, daripada jumlah ahli aktif pada S3 2022 sebanyak 8.26 juta berbanding jumlah ahli sebanyak 15.61 juta.

 

Bagi mencapai sasaran perlindungan melebihi 60% tenaga buruh yang aktif menjelang 2025, KWSP telah mempergiatkan program outreach dan libat urus dengan pihak berkepentingan secara proaktif, disokong oleh teknologi digital yang membolehkan ahli mengakses lebih banyak perkhidmatan KWSP seperti pendaftaran dan pengaktifan i-Akaun, i-Saraan, dan Simpanan Shariah.

 

Datuk Seri Amir Hamzah berkata keupayaan digital itu membantu mengukuhkan asas operasi KWSP, seterusnya membolehkan ia untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan nilai tambah kepada ahli KWSP, di samping membantu meningkatkan kadar pendaftaran kedua-dua program caruman sukarela KWSP.

 

Dari Januari hingga September 2022, pendaftaran baharu i-Saraan meningkat kepada 445,193 daripada 27,048 dalam tempoh yang sama tahun lepas; manakala pendaftaran baharu KWSP Kasih Suri Keluarga Malaysia meningkat daripada 2,216 kepada 43,666 untuk tempoh yang sama. i-Saraan ialah program caruman sukarela untuk membolehkan pekerja di sektor tidak formal atau tidak mempunyai pendapatan formal untuk menyimpan untuk persaraan mereka dengan KWSP, manakala Kasih Suri Keluarga Malaysia KWSP adalah insentif yang disediakan khas untuk suri rumah yang berdaftar di bawah Program e-Kasih untuk menyimpan dengan KWSP untuk kesejahteraan masa depan mereka.

 

Bukti pemulihan kukuh dalam aktiviti ekonomi domestik juga boleh dilihat daripada pertumbuhan data majikan KWSP di mana pendaftaran majikan baharu direkodkan sebanyak 74,781 dari Januari hingga September 2022, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 582,990.

 

Gangguan ekonomi seperti pandemik dan krisis ekonomi telah menyerlahkan kelemahan kewangan merentasi pelbagai segmen penduduk. Impak kewangan ini menjadi lebih ketara di kalangan kumpulan yang tidak dilindungi, iaitu mereka yang tidak menerima sebarang perlindungan skim keselamatan sosial.

 

Oleh itu, KWSP telah giat melaksanakan perlindungan KWSP untuk menggalakkan jaminan pendapatan hari tua di luar sektor formal, meliputi pekerja sektor tidak formal dan yang berada di luar tenaga buruh. KWSP menggerakkan usaha melalui kerjasama bersepadu dan strategik dengan pelbagai institusi dan organisasi seperti penyedia platform gig serta badan penyeliaan dan kawal selia.

 

Ini adalah salah satu teras KWSP untuk menyediakan pelan simpanan yang selamat dan dipercayai untuk semua golongan yang bekerja di Malaysia bagi membantu mereka membina pendapatan persaraan ke arah kehidupan yang bermaruah dalam tempoh persaraan mereka.

 

 

PRESTASI S3 2022 KWSP
Portfolio % Aset dalam Jumlah Pelaburan Aset Pendapatan pelaburan kasar (RM bilion) % Pendapatan
Ekuiti 41% 5.49 45%
Instrumen Pendapatan Tetap* 48% 4.77 39%
Instrumen Pasaran Wang 4% 0.39 2%
Hartanah dan Infrastruktur 7% 1.67 14%
Jumlah 100% 12.32 100%

 

* Sumbangan dari Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf 

 

 

PENDAFTARAN AHLI DAN MAJIKAN KWSP S3 2022
Indikator S3 2021
(Setakat Sept 2021)
S3 2022
(Setakat Sept 2022)
Peningkatan
(S3 2021 and S3 2022)
1. Ahli      
Jumlah ahli 15,121,721 15,607,802 3.21%
Ahli aktif 7,616,857 8,257,476 8.41%
Pendaftaran ahli baharu 289,716 510,354 76.16%
2. Majikan      
Jumlah majikan 542,488 582,990 7.47%
Pendaftaran majikan baharu 50,741 74,781 47.31%

 

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
5 Disember 2022

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

 


1. Ahli aktif merujuk kepada ahli yang mencarum sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan

2. Sorotan Pasaran Buruh Suku Ketiga 2022; Jabatan Perangkaan Malaysia, laporan bertarikh 17 November 2022