Kemaskini terakhir : 28/12/2021 10:15     

KWSP KOMITED BANTU AHLI BINA SEMULA SIMPANAN DAN JAMIN MASA DEPAN PERSARAAN

KUALA LUMPUR, 28 Disember 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan simpanan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian sebarang pengeluaran khas di bawah skim i-Citra agar masa depan persaraan mereka tidak akan terus dikompromi.

KWSP merupakan sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka. Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70% simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30% simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah. Walau bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam.

Skala dan kesan pandemik COVID-19 yang tidak dijangka serta kejadian bencana alam baru-baru ini telah menolak perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksima, dan pendekatan menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan pastinya akan memberikan impak yang teruk tatkala ahli sedang berhadapan dengan ketidakcukupan wang simpanan persaraan, ditambah lagi dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan.

Skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020, diikuti oleh i-Citra pada bulan Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif ini telah diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi. Setakat Oktober 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga skim pengeluaran ini. Ini adalah bersamaan 22% daripada RM530 bilion pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh Kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Walaupun skim pengeluaran ini telah memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan PKP, ianya telah menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000, sememangnya tahap yang tidak dapat menjamin persaraan ahli.

Majoriti mereka yang telah membuat pengeluaran kecemasan daripada KWSP adalah di kalangan Bumiputera. Hasil daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54% ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta atau 25% mempunyai kurang daripada RM1,000. Ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun.

Selain daripada penyusutan pendapatan masa depan individu, KWSP juga bimbang bahawa ketirisan selanjutnya akan menjejaskan kedudukannya sebagai sebuah organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli. Sebagai pemegang amanah, KWSP mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan yang saksama untuk semua ahlinya, lebih-lebih lagi apabila masih terdapat berjuta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka kelak.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada RM270 bilion simpanan KWSP yang boleg dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang telah mencapai umur lebih daripada 55 dan 60 tahun, mahupun yang mempunyai simpanan lebih daripada RM1 juta dalam akaun KWSP mereka. Dibimbangi bahawa kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli ini mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak akan memberikan impak yang negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP merupakan tunggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara.

Pengurusan keselamatan pendapatan hari tua kekal sebagai mandat utama dan panduan kepada KWSP dalam membangunkan strategi penjagaan dana warga emas yang sistemik. Malaysia mempunyai sembilan tahun sahaja lagi untuk mencapai status negara menua pada tahun 2030. Jumlah warga emas yang memerlukan sokongan Kerajaan akan meningkat secara mendadak daripada 3.5 juta pada tahun 2021 kepada 5.3 juta ataupun 15% daripada keseluruhan penduduk pada tahun 2030 dan 7.4 juta ataupun 21% daripada keseluruhan penduduk pada tahun 2042, seterusnya memberikan cabaran dalam merangka dasar dalam aspek seperti pekerjaan, jaminan pendapatan dan penjagaan kesihatan. Ini menyerlahkan lagi kepentingan mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi untuk kesejahteraan masa depan selain membendung sebarang kejutan kewangan masa hadapan.

Ketika negara sedang membina semula ekonomi dan orang ramai telah kembali bekerja, tumpuan utama kini adalah untuk memulih dan membina semula simpanan KWSP. Fokus KWSP kini adalah untuk terus melindungi simpanan ahli, selaras dengan mandatnya, dan memastikan ahli turut memulihkan dan membina semula simpanan persaraan mereka bagi menjamin persaraan yang selesa. Kepelbagaian bantuan kewangan Kerajaan yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan untuk pemulihan daripada pandemik dan banjir baru-baru ini adalah dialu-alukan semasa waktu sukar ini, justeru sebarang pengeluaran khas daripada simpanan KWSP pada masa hadapan adalah dianggap tidak perlu.

KWSP berbesar hati oleh pendirian beberapa kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja-pekerja di Malaysia dan mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP.

KWSP amat bersimpati dengan rakyat Malaysia berikutan kejadian banjir. Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dari segi sosial, KWSP dan organisasi lain perlu memainkan peranan penting ke arah kesejahteraan masyarakat. Oleh yang demikian, KWSP, melalui penyertaannya di bawah Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN), telah menawarkan sokongannya melalui sumber di bawah keupayaannya, termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana peruntukan tersebut adalah daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan. Bantuan akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal bukan untung yang berkredibiliti. Dengan hampir 15 juta ahli, sebarang bantuan melalui pertubuhan kebajikan dan melalui usaha sukarelawan KWSP sendiri akan memberi manfaat kepada ahli dan keluarga mereka secara langsung dan tidak langsung.

Dengan langkah-langkah yang dilaksanakan untuk menyokong pemulihan ekonomi, KWSP berharap ini akan membantu dalam menangani keperluan rakyat sambil meyakinkan ahli bahawa KWSP kekal komited terhadap mandat dan tujuannya untuk menjamin kesejahteraan masa depan pe rsaraan ahli.

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
28 Disember 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.