Kemaskini terakhir : 16/04/2022 5:36     

KWSP TERIMA 5.3 JUTA PERMOHONAN DI BAWAH KEMUDAHAN PENGELUARAN KHAS

KUALA LUMPUR, 16 April 2022: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan setakat jam 8 malam pada 14 April 2022, sebanyak 5.3 juta permohonan telah diterima di bawah kemudahan Pengeluaran Khas setelah ia dibuka kepada ahli pada 1 April 2022. Ini bersamaan dengan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat, di mana pembayaran pertama akan bermula pada 20 April 2022.

 

KWSP menerangkan bahawa jumlah permohonan yang diterima merangkumi 44% daripada 11.95 juta ahli yang layak untuk membuat pengeluaran di bawah kemudahan ini. Dipecahkan mengikut pengkelasan gaji, ini mewakili 55% ahli B40 yang layak (yang berpendapatan kurang daripada RM1,700), 59% ahli M40 (RM1,701 - RM4,900), dan 39% ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4, 900). Sebanyak 29% ahli tidak formal1 dan tidak aktif2 juga telah memohon.

 

Kaum Bumiputera Melayu merangkumi jumlah pemohon mengikut kaum tertinggi pada 65%, diikuti oleh kaum Cina pada 12%, dan kaum India pada 7%. Jumlah 17% selebihnya adalah terdiri daripada kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan bukan warganegara. Berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan ini, tiga sebab utama permohonan termasuk mengalami pengurangan pendapatan (24%), membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan (23%), dan menambah sumber kewangan (14%); manakala tujuan pengeluaran adalah untuk menampung perbelanjaan keperluan asas harian/ bulanan (40%), membayar tunggakan hutang (26%), menambah simpanan/ dana kecemasan (8%), dan membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan (7%), dengan 19% selebihnya adalah untuk tujuan-tujuan lain seperti membayar pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain, dan pelaburan.

 

Tarikh tutup untuk kemudahan Pengeluaran Khas adalah pada 30 April 2022 dan ahli boleh memohon melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my. Setiap aspek keselamatan telah diambil oleh KWSP bagi mengelakkan pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab atau scammers daripada membuat permohonan palsu dan menjejaskan simpanan ahli. KWSP juga ingin menasihatkan ahli untuk tidak berkongsi gambar atau dokumen berkaitan Pengeluaran Khas mereka di platform media sosial, dan berhati-hati apabila mengeluarkan wang mereka bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan dan aktiviti scam.

 

KWSP mengingatkan ahli untuk mempertimbangkan ketersediaan pendapatan jangka panjang mereka dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu, dan membelanjakan wang mereka dengan bijak serta untuk tujuan yang sesuai.

 

Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas ini boleh didapati di ‘Ask ELYA’ dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP, atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di 03-8922 4848. Ahli juga digalakkan untuk mendapatkan nasihat daripada pegawai Khidmat Nasihat Persaraan KWSP di mana-mana cawangan KWSP seluruh negara berkenaan simpanan KWSP mereka.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
16 April 2022

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

 


1. Tidak formal merujuk kepada ahli yang bekerja sendiri atau yang tidak mempunyai majikan atau di bawah sebarang pengaturan pekerjaan rasmi. Ahli-ahli ini tidak diberikan mandat untuk mencarum kepada KWSP dan mereka dibenarkan untuk membuat caruman secara sukarela.

2. Tidak aktif merujuk kepada ahli yang tidak membuat caruman selama lebih daripada setahun.