Kemaskini terakhir : 16/03/2022 6:47     

KWSP UMUM PENGELUARAN KHAS UNTUK AHLI YANG MASIH TERKESAN OLEH PANDEMIK

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2022: Lanjutan daripada pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 untuk ahli yang masih terkesan oleh pandemik.

 

Ini merupakan pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021 bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti dengan kelembapan ekonomi.  Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran tersebut.

 

Tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas. KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara.

 

Maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini dan mekanisme pembayaran akan dibuat oleh KWSP dengan kadar segera.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
16 Mac 2022

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.