Kemaskini terakhir : 10/11/2020 4:45     

MAKLUMAN TERKINI BERKENAAN WAKTU OPERASI CAWANGAN KWSP

KUALA LUMPUR, 10 November 2020: Bermula Rabu, 11 November 2020, semua pejabat dan kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan beroperasi dari 9 pagi hingga 2 petang pada hari bekerja, sehingga dimaklumkan kelak. Ini melibatkan cawangan-cawangan di Semenanjung Malaysia (kecuali di negeri Perlis, Pahang, dan Kelantan) serta Kuching, Sarawak.

Pejabat KWSP dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula akan kekal tutup sehingga dimaklumkan kelak. Setakat ini, hanya cawangan KWSP Kajang yang terkesan.

Semua perkhidmatan disediakan seperti biasa, melainkan perkhidmatan di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang terhad kepada Pengeluaran Umur 50/55/60 dan Pengesahan Cap Ibu Jari e-Pengeluaran. Ahli-ahli yang telah membuat janji temu untuk berurusan dengan cawangan KWSP yang berkenaan di luar waktu operasi terkini diminta untuk menjadualkan semula melalui saluran Janji Temu Online (www.kwsp.gov.my/janjitemu).

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
10 November 2020

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.