Kemaskini terakhir : 19/12/2022 6:48     

PENUTUPAN SEMENTARA CAWANGAN KWSP JERTEH, TERENGGANU, DAN KWSP KUALA KRAI, KELANTAN

KUALA LUMPUR, 19 Disember 2022: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa pejabat dan kaunter KWSP Cawangan Jerteh, Terengganu, dan KWSP Cawangan Kuala Krai, Kelantan telah ditutup bermula hari ini pada 19 Disember 2022 sehingga dimaklumkan kelak berikutan keadaan banjir di beberapa kawasan di Pantai Timur Malaysia.

 

Ahli-ahli yang telah membuat janji temu di cawangan KWSP Jerteh atau KWSP Kuala Krai dalam tempoh ini dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka sehingga keadaan banjir mulai pulih. Untuk transaksi yang penting, ahli boleh berurusan untuk perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun atau hadir di mana-mana cawangan KWSP lain yang beroperasi di kawasan yang tidak terkesan.

 

Untuk sebarang pertanyaan mengenai produk dan perkhidmatan KWSP, ahli boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

 

Dikeluarkan oleh
Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
19 Disember 2022

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.