Kemaskini terakhir : 15/03/2019 4:57     

Penipuan Pengeluaran - KWSP Buat Laporan Polis

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat laporan polis berhubung 26 kes penipuan dan cubaan menipu Pengeluaran Hilang Upaya di Pulau Pinang dan Perak.

 

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bukit Mertajam oleh Encik D. Devadoss, Pengurus Kanan KWSP Negeri Pulau Pinang terhadap enam kes penipuan dan 19 kes cubaan menipu pengeluaran.

 

Di Perak, Encik C. Baharudin Wahab, Pengurus Penguatkuasaan KWSP Negeri telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh terhadap seorang ahli yang cuba membuat penipuan pengeluaran.

 

Siasatan KWSP di kedua-dua negeri berkenaan mendapati permohonan Pengeluaran Hilang Upaya menggunakan laporan perubatan palsu yang kononnya dikeluarkan oleh hospital dan klinik kerajaan dengan mendakwa pemohon tidak berupaya untuk bekerja.

 

Laporan polis ini adalah hasil siasatan KWSP Pulau Pinang selama tiga bulan berikutan penemuan beberapa laporan perubatan yang kandungannya mencurigakan, nama dan tandatangan doktor yang tidak jelas serta kepala surat hospital yang disyaki palsu.

 

KWSP dalam perjumpaan dengan pengarah dan pegawai perubatan hospital-hospital berkenaan di Pulau Pinang mendapati 25 permohonan itu menggunakan laporan perubatan palsu.

 

Di Perak pula, KWSP mendapati ahli yang mengemukakan laporan perubatan dari Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang sebenarnya tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital berkenaan. Selain itu, tandatangan doktor yang mengesahkan beliau tidak berupaya untuk bekerja juga didapati palsu.

 

"Kami memandang serius penipuan pengeluaran dan langkah membuat laporan polis di Pulau Pinang dan Perak ini adalah bukti kesungguhan KWSP membanteras kegiatan penipuan ini," kata Encik Nik Affendi Jaafar, Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP.

 

"Adalah menyedihkan segelintir ahli sanggup menipu untuk mengeluarkan simpanan. Lebih menyedihkan lagi apabila mereka terpaksa membayar sebahagian besar simpanan yang dikeluarkan itu kepada pihak ketiga, seperti kes yang terjadi di Perak," tambah beliau.

 

Di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991, sesiapa yang didapati bersalah memberikan maklumat palsu atau tidak benar dengan tujuan membuat penipuan pengeluaran simpanan boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM10,000.00 atau kedua-duanya sekali.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.