Kemaskini terakhir : 15/03/2019 4:44     

Laporan Polis Terhadap Kes Penipuan Pengeluaran Di Kedah

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini membuat dua laporan polis berhubung 39 kes penipuan dan cubaan menipu Pengeluaran Hilang Upaya dan Perumahan di Kedah.

 

Laporan polis itu dibuat oleh Mohamed Yusof Othman dan Mohamad Fadzir Alias, Penolong Pengurus KWSP Negeri Kedah di Balai Polis Sungai Petani melibatkan 35 kes penipuan dan cubaan menipu Pengeluaran Hilang Upaya.

 

Satu lagi laporan polis dibuat oleh Norhayati Ahmad, Timbalan Pengurus KWSP Negeri Kedah terhadap empat ahli yang mengeluarkan simpanan mereka secara menipu di bawah Pengeluaran Perumahan.

 

Penipuan Pengeluaran Hilang Upaya dibuat dengan menggunakan laporan perubatan palsu yang kononnya dikeluarkan oleh hospital kerajaan yang menyatakan ahli terlibat tidak berupaya untuk bekerja.

 

Kes-kes ini dikesan oleh Jabatan Audit Dalam KWSP. Siasatan terperinci telah dijalankan termasuk meneliti semula dokumen yang dikemukakan oleh pemohon-pemohon terbabit. Siasatan menemui bukti menunjukkan kandungan laporan perubatan seperti penyakit pemohon, nama dan tandatangan doktor yang tidak jelas serta kepala surat hospital yang tidak lengkap adalah sama bagi setiap permohonan.

 

Ahli yang dikesan menipu Pengeluaran Perumahan pula didapati telah menggunakan surat kelulusan pinjaman perumahan palsu. Ini telah disahkan oleh pihak bank berkenaan.

 

“KWSP memandang serius penipuan pengeluaran dan langkah membuat laporan polis di Lembah Klang, Pulau Pinang, Perak, Sarawak dan kini di Kedah adalah bukti kesungguhan KWSP membanteras kegiatan jenayah ini,” kata Nik Affendi Jaafar, Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP.

 

“Adalah menyedihkan segelintir ahli sanggup menipu untuk mengeluarkan simpanan. Lebih menyedihkan lagi apabila mereka terpaksa membayar sebahagian besar simpanan yang dikeluarkan itu kepada pihak ketiga,” tambah beliau.

 

“KWSP ingin mengingatkan ahli supaya menjauhkan diri daripada sindiket yang memperdayakan mereka mengeluarkan simpanan hasil titik peluh sendiri. Perbuatan bersubahat dengan sindiket berkenaan bukan sahaja menyebabkan mereka kehilangan wang simpanan persaraan bahkan boleh dipenjarakan,” tegas beliau.

 

Di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991, sesiapa yang didapati bersalah menipu mengeluarkan simpanan KWSP boleh dipenjarakan sehingga maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Nik Affendi berkata KWSP kini menyemak dengan lebih teliti setiap permohonan pengeluaran berikutan kes-kes penipuan pengeluaran tersebut.

 

“Langkah teliti ini mungkin menyebabkan kelewatan dalam meluluskan permohonan pengeluaran. KWSP meminta ahli agar bersabar kerana langkah perlu ini bertujuan memastikan keselamatan simpanan persaraan mereka tidak terjejas,” kata beliau.

 

Ahli boleh membantu KWSP dengan mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap semasa membuat permohonan untuk mengelakkan kelewatan.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.