Kemaskini terakhir : 16/06/2022 1:40     

PORTAL i-INVEST DITAMBAH BAIK DENGAN CIRI-CIRI BAHARU UNTUK KEMUDAHAN AHLI MEMBUAT KEPUTUSAN YANG LEBIH TERMAKLUM

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2022: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pelancaran ciri-ciri baharu portal web i-Invest untuk menambahbaik pengalaman ahli. Pelbagai ciri-ciri web i-Invest seperti menjalankan transaksi, penilaian kesesuaian pelabur, dan maklumat lanjut mengenai dana unit amanah yang diluluskan serta institusi pengurusan dana (IPD) yang menawarkannya juga kini tersedia dalam aplikasi mudah alih i-Akaun, yang akan dikemaskini dengan ciri-ciri tambahan lain pada masa akan datang.

 

Dalam usaha membantu ahli membuat pilihan pelaburan yang lebih termaklum, KWSP julung kalinya telah memperkenalkan Dashboard Sejarah Prestasi Pelaburan bagi membolehkan ahli menganalisis prestasi pulangan pelaburan berdasarkan tempoh pelaburan yang pelbagai. Ciri baharu ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam industri pengurusan dana domestik dan turut dilengkapi dengan paparan pulangan pelaburan berdasarkan tiga kategori utama untuk membolehkan perbandingan dibuat pada peringkat dana, peringkat IPD, dan peringkat portfolio keseluruhan.

 

KWSP juga telah memperkenalkan Simulator Pelaburan sebagai alat untuk membantu ahli membuat penilaian untuk mencapai objektif pelaburan berdasarkan lima parameter utama. Objektif pelaburan kini boleh disimulasikan berdasarkan pilihan amaun pelaburan awal, amaun pelaburan bulanan, tempoh pelaburan, kadar pulangan atau nilai akhir pelaburan. Portal i-Invest yang ditambah baik ini juga menyediakan paparan penanda aras Lipper untuk ahli membuat perbandingan prestasi dana-dana unit amanah dengan penanda aras dana-dana tersebut.

 

Portal i-Invest yang dilancarkan pada Ogos 2019, menawarkan pelbagai fungsi, fleksibiliti dan kemudahan untuk ahli membuat pilihan pelaburan serta memantau pelaburan mereka pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Menerusi kemudahan ini, ahli boleh membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD dan mendapatkan paparan yang menyeluruh mengenai kesemua pegangan pelaburan mereka, maklumat tentang kos pelaburan, sejarah prestasi dana, serta maklumat berkanun berkaitan IPD.

 

KWSP akan terus memastikan portal i-Invest ditambah baik dari semasa ke semasa untuk manfaat ahlinya, dan menjemput ahli untuk memberikan maklum balas mengenai portal i-Invest melalui pautan “Kaji Selidik Tentang Kesedaran dan Pengalaman Ahli Menggunakan Portal i-Invest”.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
16 Jun 2022

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.