Kemaskini terakhir : 05/10/2020 3:54     

RAJA PERMAISURI AGONG MENYEMPURNAKAN PELANCARAN PENGELUARAN KESIHATAN KWSP UNTUK RAWATAN KESUBURAN

Pengeluaran terbaharu membantu pasangan untuk mendapatkan cahaya mata
 

BANGI, 5 Oktober 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah menyempurnakan pelancaran pengeluaran kesihatan terbaharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bagi rawatan kesuburan, di EPF Learning Campus (ELC), Bangi, hari ini.

Pengeluaran ini bertujuan untuk membantu pasangan yang menghadapi cabaran untuk mendapatkan cahaya mata, sambil mengambil kira usaha nasional untuk menangani trend penurunan kadar kesuburan yang berterusan dan kesannya terhadap sistem kesihatan dan ekonomi negara. Oleh yang demikian, KWSP telah mula membenarkan ahli yang layak membuat pengeluaran bagi rawatan kesuburan bermula 1 September 2020.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi KWSP Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Badri Zahir berkata: “Melalui Pengeluaran Kesihatan – Rawatan Kesuburan, ahli KWSP boleh mengeluarkan simpanan dalam Akaun 2 mereka untuk membiayai kos rawatan untuk mendapatkan cahaya mata. Ahli boleh membuat pengeluaran ini seberapa kali yang diinginkan, tertakluk kepada baki simpanan Akaun 2 mereka.”

“Pilihan Pengeluaran Kesihatan – Rawatan Kesuburan ini adalah tanda sokongan kami kepada pasangan yang ingin mendapatkan rawatan ini tetapi menghadapi kekangan kerana kos yang tinggi,” tambah beliau.

Pengeluaran Kesihatan - Rawatan Kesuburan adalah lanjutan kepada kemudahan Pengeluaran Kesihatan yang sedia ada di bawah Akaun 2 simpanan KWSP ahli, yang telah diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020.

Pengeluaran di bawah rawatan kesuburan ini boleh dibuat untuk permanian beradas (IUI), persenyawaan in-vitro (IVF) dan intracytoplasmic sperm injection (ICSI). Hanya pasangan suami isteri yang sah sahaja yang layak memohon. Ahli boleh membuat permohonan untuk diri sendiri, pasangan atau membuat permohonan bersama. Walau bagaimanapun, rawatan tersebut hanya boleh dijalani di institusi perubatan tempatan.

Ahli yang ingin membuat Pengeluaran Kesihatan - Rawatan Kesuburan boleh mengemukakan permohonan mereka di mana-mana cawangan KWSP berserta dokumen-dokumen sokongan seperti laporan perubatan, sijil perkahwinan dan bil / resit untuk rawatan tersebut. Maklumat lanjut mengenai pengeluaran ini boleh didapati dari laman sesawang
https://www.kwsp.gov.my/ms/member/withdrawals/partial/health#Rawatan_Kesuburan 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

5 Oktober 2020

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.