Tujuh Didenda Menipu Pengeluaran Perumahan
KWSP ingatkan ahli waspada terhadap sindiket pengeluaran
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan tujuh ahli disabitkan kesalahan oleh mahkamah sepanjang tempoh suku tahun kedua 2014 (April-Jun 2014) kerana menipu pengeluaran perumahan.
Tujuh ahli berkenaan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan didenda berjumlah RM8,700 oleh mahkamah. Denda yang dikenakan kepada setiap ahli antara RM200 dan RM4,000. Ahli terbabit berkemungkinan akan berhadapan dengan hukuman penjara sehingga tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Hal Ehwal Korporat KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “KWSP serius dalam membanteras permohonan palsu oleh ahli dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menipu.
“KWSP juga tidak menafikan terdapat penglibatan pihak ketiga atau sindiket membantu ahli yang terdesak mengeluarkan simpanan KWSP mereka secara tidak sah.”
Dalam tempoh sama turut menyaksikan 21 saman mahkamah difailkan kepada ahli yang terlibat dalam penipuan pengeluaran.
Penipuan pengeluaran melibatkan penghantaran dokumen palsu oleh ahli untuk mendapatkan kelulusan pengeluaran daripada akaun KWSP mereka sendiri adalah satu kesalahan di bawah Akta KWSP 1991. Menurut Akta ini, ahli yang didapati bersalah menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ahli yang mengembalikan wang yang telah dikeluarkan secara tidak sah dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan hanya dibenarkan memohon untuk pengeluaran yang sama dua tahun dari tarikh wang tersebut dikembalikan.
“Ahli terbabit dalam kesalahan ini akan berada di bawah pemantauan KWSP. Mereka yang tidak memulangkan wang tersebut selepas enam bulan dari tarikh disabitkan kesalahan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya,” kata Nik Affendi. Tambah beliau, KWSP mempunyai sistem komprehensif yang mampu untuk mengesan dan mengenal pasti ahli yang membuat penipuan pengeluaran walaupun selepas pengeluaran tersebut berjaya dikeluarkan.
Nik Affendi turut mengingatkan ahli terutama mereka yang mengalami masalah kewangan agar berwaspada terhadap sindiket yang mengiklankan perkhidmatan di beberapa laman web dengan menawarkan perkhidmatan membantu mengeluarkan simpanan KWSP mereka. Beliau menegaskan, KWSP tidak pernah melantik atau meluluskan mana-mana perkhidmatan pihak ketiga untuk menguruskan permohonan ahli bagi tujuan pengeluaran.
“Ahli yang ingin membuat pengeluaran daripada akaun KWSP mereka boleh berhubung terus dengan KWSP tanpa dikenakan sebarang bayaran untuk setiap perkhidmatan yang diberikan,” kata Nik Affendi.
Ahli digesa memberikan sokongan terhadap usaha KWSP membanteras penipuan pengeluaran. Ahli boleh melaporkan sebarang kegiatan atau cubaan penipuan dengan menghubungi Talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara. |
Tarikh: 19 Ogos 2014