Kemaskini terakhir : 15/03/2019 12:16     

Kes Mahkamah - Enam Ahli KWSP Disabit Kesalahan Menipu Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan enam ahli KWSP telah disabit kesalahan menipu atau cubaan menipu pengeluaran oleh mahkamah di antara bulan April dan Jun 2011 (Suku Tahun Kedua 2011).

 

Enam ahli tersebut telah didapati bersalah dan didenda berjumlah RM12,300 oleh mahkamah di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991 dalam kes melibatkan pengeluaran perumahan. Salah seorang daripada mereka telah dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan manakala tiga lagi berkemungkinan dipenjarakan sehingga dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda itu.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Tindakan mahkamah yang diambil ke atas ahli berkenaan membuktikan KWSP tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang penipuan. Dalam usaha untuk melindungi simpanan persaraan ahli, KWSP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang tidak jujur.”

 

Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan pengeluaran daripada akaun mereka sendiri adalah satu kesalahan serius di bawah Akta KWSP 1991.

 

Di bawah Akta ini, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Mereka yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

Pada suku tahun tersebut, sejumlah 31 saman untuk kesalahan yang sama juga telah difailkan di mahkamah.

 

Nik Affendi mengingatkan ahli, terutamanya mereka yang kesempitan wang, agar berhati-hati apabila didatangi sindiket yang memberikan tawaran untuk membantu mereka mengeluarkan simpanan KWSP walaupun mendakwa pengeluaran dibuat melalui saluran sah.

 

“Adalah jelas menipu pengeluaran merupakan satu kesalahan yang serius dengan atau tanpa bantuan pihak ketiga. Tambahan pula, proses pengeluaran KWSP telah digubal dengan teliti bagi membolehkan ahli yang menipu pengeluaran dikesan walaupun setelah wang simpanan berjaya dikeluarkan. Mereka yang terlibat dengan penipuan pasti akan dikenakan tindakan undang-undang,” tegas beliau.

 

Ahli yang mempunyai maklumat mengenai kes penipuan atau cubaan menipu digesa menghubungi talian Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat, Isnin hingga Jumaat.

 

“Tujuan ahli menyimpan dengan KWSP adalah untuk memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan. Ketika KWSP berusaha bersungguh-sungguh melindungi simpanan mereka, ahli juga perlu memainkan peranan yang sama untuk kesejahteraan persaraan mereka,” Nik Affendi berkata.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.

 

Tarikh: 20 Julai 2011