Kemaskini terakhir : 28/11/2020 11:04     

KADAR BERKANUN CARUMAN SYER PEKERJA DITURUNKAN KE SEMBILAN (9) PERATUS BAGI TAHUN 2021

KUALA LUMPUR, 28 November 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin memaklumkan bahawa kadar caruman berkanun syer pekerja akan dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan (9) peratus bagi tahun 2021.

Kadar caruman berkanun syer pekerja baharu ini akan terpakai untuk pekerja berumur di bawah 60 tahun yang wajib mencarum. Bagi pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas pula, caruman berkanun syer pekerja masih kekal pada kadar yang sama.

Kadar baharu ini akan berkuatkuasa bagi tempoh satu tahun dan merangkumi upah pekerja bulan Januari 2021 (caruman Februari 2021) sehingga upah pekerja bulan Disember 2021 (caruman Januari 2022).

Ahli masih boleh memilih untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2021), yang boleh dimuat turun daripada laman web KWSP (www.kwsp.gov.my) mulai 1 Disember 2020. Borang yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk didaftarkan secara dalam talian melalui kemudahan i-Akaun (Majikan) mulai 14 Disember 2020. Borang yang diterima daripada pekerja hendaklah disimpan sebagai rekod majikan.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh merujuk laman sesawang KWSP atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat

28 November 2020

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.