Kemaskini terakhir : 04/07/2021 6:18     

PENUTUPAN SEMENTARA PEJABAT CAWANGAN KWSP DI KAWASAN PKPD

KUALA LUMPUR, 4 Julai 2021: Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diumumkan oleh Kerajaan, beberapa pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk kaunter perkhidmatan pelanggan akan ditutup sementara mulai 5 Julai 2021 sehingga dimaklumkan kelak. Pejabat KWSP yang terlibat adalah KWSP Rawang, Shah Alam, Petaling Jaya, Puchong, Klang, Kajang, dan Gombak di negeri Selangor dan KWSP Kuantan, Jerantut dan Pekan di negeri Pahang.

Sehubungan itu, kesemua sesi janji temu yang dibuat melalui saluran Janji Temu Online (JTO) dalam tempoh ini akan dibatalkan. Sekiranya ada keperluan untuk hadir ke cawangan KWSP, ahli perlu membuat janji temu semula pada tarikh lain selepas tempoh PKPD. Keutamaan akan diberikan kepada janji temu yang dibuat untuk Pengeluaran Umur 50, 55, 60, Kesihatan dan Kematian setelah pejabat tersebut beroperasi semula.

Bagi ahli KWSP yang telah membuat permohonan pengeluaran dan sedang menunggu pembayaran melalui Arahan Bayaran dan cek jurubank, cawangan KWSP yang berkenaan akan menghubungi ahli untuk urusan pengambilan Arahan Bayaran atau untuk melengkapkan transaksi pengeluaran tersebut di cawangan yang telah dipilih oleh ahli.

Perkhidmatan lain seperti permohonan Pengeluaran Perumahan, Umur 50, 55 dan 60, boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun (sila rujuk senarai perkhidmatan dalam talian di laman web rasmi KWSP). Walau bagaimanapun, proses pengesahan cap ibu jari (jika perlu) bagi melengkapkan transaksi dalam talian ini hanya boleh dilaksanakan setelah tamat tempoh PKPD dan cawangan telah dibuka semula.

KWSP akan terus melaksanakan langkah-langkah keselamatan mengikut SOP yang ditetapkan ketika berurusan di pejabat bagi memastikan keselamatan ahli dan anggota KWSP adalah terpelihara. Sebarang kesulitan yang dialami pihak ahli ketika berurusan adalah dikesali, dan kami menghargai pemahaman, kesabaran dan kerjasama anda sepanjang tempoh yang mencabar ini.

Untuk penjelasan lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk saluran media sosial rasmi KWSP atau laman web KWSP di www.kwsp.gov.my. Bagi penjelasan berkenaan kemudahan i-Citra, ahli boleh menghubungi talian hotline khas i-Citra di 03 – 8922 4848.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
4 Julai 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.