Kemaskini terakhir : 11/05/2021 6:42     

PENUTUPAN SEMENTARA CAWANGAN SERI PETALING DAN WAKTU OPERASI KAUNTER PERKHIDMATAN KETIKA PKP

KUALA LUMPUR, 11 Mei 2021: Pejabat dan kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Seri Petaling, Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu mulai 11 Mei 2021 (Selasa) hingga dimaklumkan kelak, setelah seorang anggota cawangan tersebut didapati positif COVID-19.

Penutupan ini berikutan daripada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pengurusan premis untuk menjalankan proses disinfeksi dan sanitasi. Anggota KWSP tersebut kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan, manakala pengesanan kontak sedang dilaksanakan.


Selain itu, bermula 16 Mei 2021 sehingga 7 Jun 2021, waktu operasi kaunter perkhidmatan bagi tempoh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah daripada 8.30 pagi hingga 3.00 petang. Waktu ini adalah terpakai untuk semua cawangan KWSP di seluruh negara.


Ahli-ahli adalah dinasihatkan untuk melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun atau menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online jika ada keperluan untuk hadir ke cawangan.


Semua cawangan KWSP akan tetap mengamalkan penjarakan fizikal dan SOP pencegahan yang lain untuk membendung penularan wabak COVID-19.


Sekiranya ahli ingin mendapatkan penjelasan lanjut, mereka boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
11 Mei 2021
 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.