Kemaskini terakhir : 31/01/2021 9:32     

PENUTUPAN SEMENTARA CAWANGAN SHAH ALAM DAN PEMBUKAAN SEMULA CAWANGAN LAHAD DATU

KUALA LUMPUR, 31 Januari 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di Shah Alam mulai Isnin, 1 Februari 2021 hingga dimaklumkan kelak, selepas beberapa anggota cawangan tersebut didapati positif COVID-19. Penutupan ini berikutan daripada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pengurusan premis untuk menjalankan proses disinfeksi dan sanitasi. Anggota-anggota KWSP tersebut kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan, manakala pengesanan kontak sedang dilaksanakan.

Selain itu, KWSP Lahad Datu akan dibuka semula bermula Khamis, 4 Februari 2021 selepas ditutup bermula 20 Januari 2021.

Ahli-ahli adalah dinasihatkan untuk melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun atau menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online jika ada keperluan untuk hadir ke cawangan.

KWSP juga telah mengambil langkah perlu untuk menjaga kesihatan dan keselamatan anggota dan orang ramai. Semua anggota perkhidmatan KWSP Shah Alam akan menjalani ujian swab COVID-19, dan jika didapati positif, akan mematuhi tempoh kuarantin wajib selama 10 hari mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Semua cawangan KWSP akan tetap mengamalkan penjarakan fizikal dan SOP pencegahan yang lain untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Sekiranya ahli ingin mendapatkan penjelasan lanjut, mereka boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
31 Januari 2021

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.