Kemaskini terakhir : 07/01/2021 2:00     

PENUTUPAN SEMENTARA CAWANGAN TEMERLOH

KUALA LUMPUR, 7 Januari 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup pejabat dan kaunternya di Temerloh bermula hari ini, 7 Januari 2021 sehingga dimaklumkan kelak, bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan ahli dan anggota berikutan keadaan banjir yang semakin teruk di pantai timur, termasuk negeri Pahang.

KWSP akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menutup mana-mana cawangan yang terkesan untuk mengelak bahaya yang mungkin dihadapai ahli dan anggota pada waktu mencabar ini.

Ahli-ahli yang telah membuat janji temu di cawangan KWSP Temerloh bagi tempoh ini dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka selepas keadaan banjir mulai pulih. Untuk transaksi yang mustahak, ahli boleh berurusan untuk perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun atau hadir di mana-mana cawangan KWSP lain yang beroperasi di kawasan yang tidak terkesan.

KWSP ingin menasihati ahli di pantai timur agar menjaga keselamatan diri dan mandapatkan bantuan daripada pihak berkuasa sekiranya mereka menghadapi kesulitan yang berpunca daripada keadaan banjir. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut, ahli boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
7 Januari 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.