Kemaskini terakhir : 15/03/2019 10:50     

Tiga Ahli KWSP Didenda RM3,900 Atas Kesalahan Menipu Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan tiga ahli telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah atas penipuan pengeluaran perumahan pada suku tahun ketiga 2013 (S3 2013).

 

Ketiga-tiga ahli tersebut telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan didenda sebanyak RM3,900. Ahli pertama, dari Kajang, Selangor, telah didenda RM2,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, manakala kedua-dua ahli berikutnya berasal dari Kuala Lumpur, masing-masing didenda RM900 dan RM1,000.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata, “Ketiga-tiga ahli tersebut telah memalsukan dokumen sewaktu melakukan pengeluaran perumahan daripada akaun KWSP mereka. KWSP memandang serius kesalahan penipuan pengeluaran. Ahli KWSP seharusnya sedar kesan daripada tindakan sedemikian yang juga menyusahkan mereka kelak.”

 

Nik Affendi mengingatkan ahli bahawa cubaan untuk mengaburi mata KWSP tidak akan berkesan kerana KWSP dilengkapi dengan sistem yang boleh mengesan dan mengenalpasti ahli yang cuba mengeluarkan wang mereka dengan cara yang salah.

 

“Mana-mana ahli yang telah mengembalikan wang yang telah dikeluarkan itu dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hanya dibenarkan memohon untuk membuat pengeluaran yang sama dua tahun selepas wang tersebut dikembalikan.”

 

Di bawah Akta KWSP 1991, mana-mana ahli yang didapati bersalah menipu pengeluaran akan berhadapan dengan maksimum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

 

KWSP juga ingin mengingatkan ahli akan sindiket yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran wang KWSP secara tidak sah.

 

“Ahli sindiket ini kebiasaannya akan mengenakan yuran perkhidmatan yang sangat tinggi dan ahli KWSP perlu berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sindiket ini. Ahli KWSP yang ingin mengeluarkan wang mereka, dengan syarat mereka telah memenuhi kelayakan yang ditetapkan, dinasihati untuk berurusan terus di mana-mana cawangan KWSP. Perkhidmatan ini adalah percuma,” kata Nik Affendi.

 

KWSP sentiasa memantau ahli-ahli, terutamanya yang mempunyai rekod kesalahan. Mereka yang gagal memulangkan amaun yang dikeluarkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

 

Ahli digesa memberikan sokongan terhadap usaha KWSP membanteras penipuan pengeluaran. Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan atau percubaan menipu boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.