Kemaskini terakhir : 08/03/2019 11:18     

Tunku Alizakri Alias Dilantik Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Baharu

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2018: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), setelah mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan, mengumumkan bahawa Tunku Alizakri Alias telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) KWSP, menggantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad. Kedua-dua pelantikan akan berkuatkuasa 20 Ogos 2018.

 

Alizakri mula berkhidmat di KWSP pada 1 Januari 2014 sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi), di mana beliau bertanggungjawab ke atas polisi  perlindungan sosial nasional, dan pembangunan perkhidmatan dan produk KWSP. Selain daripada itu, beliau juga bertanggungjawab ke atas strategi korporat, hal ehwal korporat, modal insan dan pembangunan bakat.  Beliau pernah berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia, Iclif Leadership and Governance Centre, DiGi Telecommunications, Maybank dan Sime Darby.

 

Alizakri memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Cornell University dan Sarjana Muda Undang-Undang dari King’s College, University of London. Beliau pernah menjadi peguambela dan peguamcara di Mahkamah Malaya dan diiktiraf sebagai Peguam (Lincoln’s Inn) di mahkamah England dan Wales.

 

Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Kami berbesar hati dengan pelantikan dalaman ini kerana ia mengesahkan pelan peralihan yang kukuh yang membolehkan Menteri Kewangan untuk memilih calon dalaman yang sesuai. Pelantikan KPE baru ini akan memastikan kesinambungan prestasi KWSP dan memberi jaminan kepada ahli bahawa KWSP akan terus beroperasi dengan baik dalam menyampaikan mandatnya. Pemilihan Alizakri sebagai KPE akan terus membantu dalam mengetengahkan agenda kesejahteraan sosial untuk negara.

 

“Walaupun dengan berat hati, saya menyampaikan rasa bangga bahawa Datuk Shahril telah dilantik untuk menerajui barisan kepimpinan di Khazanah.  Beliau telah membawa KWSP ke tahap kecemerlangan dengan dividen yang kukuh, penambahbaikan ke atas polisi KWSP serta pengalaman pelanggan.  Datuk Shahril adalah antara contoh terbaik dalam aspek dedikasi dan profesionalisme.

 

“Bagi pihak KWSP, saya berterima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada Datuk Shahril atas khidmat cemerlang beliau di KWSP.  Kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke atas pelantikan beliau dan selamat maju jaya. Saya yakin bahawa Khazanah akan mencapai kecemerlangan di bawah kepimpinan beliau yang telah terbukti menjadikan KWSP sebuah organisasi yang disegani.”

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar. KWSP terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.