Kemaskini terakhir : 10/06/2019 5:02     

Tular Mengenai Penamaan Tidak Benar

KWSP ingin memaklumkan bahawa tular mengenai isu penamaan yang kini tersebar melalui aplikasi WhatsApp adalah tidak benar. Penularan ini adalah sama seperti sebaran sebelum ini mengenai pembahagian simpanan ahli KWSP secara automatik kepada Amanah Raya Berhad yang juga tidak benar.

 

Hak anak ahli ke atas Simpanan KWSP ahli yang beragama Islam adalah terpelihara apabila berlaku kematian ahli, samada dinamakan sebagai penama atau sebaliknya. Apabila berlaku kematian Ahli Beragama Islam, penama hanyalah sebagai Wasi atau Pentadbir, iaitu bertanggungjawab mengagihkan simpanan ahli tersebut yang berstatus harta pusaka, mengikut Faraid.

 

Mengikut undang-undang, penamaan tidak akan berkuatkuasa sekiranya pada ketika kematian ahli, penama masih belum mencapai umur 18 tahun kerana mereka tidak layak bertindak sebagai Wasi. Namun, ini tidak bermakna anak ahli di bawah umur 18 tahun yang didaftarkan sebagai penama, tidak akan mendapat haknya ke atas simpanan ahli.

 

Pengeluaran simpanan ahli yang meninggal dunia akan diproses seperti tiada Penamaan, iaitu berdasarkan pembahagian mengikut Sijil Faraid ATAU Perintah Pembahagian ATAU Surat Kuasa Mentadbir.

 

Bagi Ahli Bukan Beragama Islam, penama adalah benefisiari/ penerima mutlak tidak kira umur.

 

KWSP juga ingin menegaskan isu pembahagian simpanan ahli yang meninggal dunia yang melibatkan penama/ waris di bawah umur 18 tahun kepada Amanah Raya Berhad secara automatik adalah juga tidak benar.

 

Untuk maklumat lanjut layari www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-8922 6000.

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 17 April 2017