Kemaskini terakhir : 30/04/2020 11:56     

KWSP UMUM PENURUNAN CAJ UNTUK SKIM PELABURAN AHLI

KUALA LUMPUR, 30 April 2020: Bermula 1 Mei 2020, ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak melabur dalam Skim Pelaburan Ahli (SPA KWSP) akan menikmati pengurangan caj jualan yang dikenakan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) untuk tempoh 12 bulan sehingga 30 April 2021. Ini membolehkan mereka mempelbagaikan portfolio persaraan pada kos yang lebih rendah.

 

Bagi pelaburan yang dilaksanakan melalui ejen, kadar caj jualan akan dikurangkan daripada maksimum 3% kepada kadar maksimum 1.5%, sementara pelaburan yang dilaksanakan melalui i-Invest dalam i-Akaun (Ahli) tidak akan dikenakan sebarang caj jualan.

 

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata: “Ahli yang layak dan bijak mengurus kewangan boleh memanfaatkan struktur caj yang lebih rendah untuk mengoptimumkan pulangan dan mempelbagaikan portfolio pelaburan berdasarkan pelan persaraan mereka. Sekarang juga adalah waktu yang sesuai untuk berbuat demikian memandangkan keadaan pasaran semasa  dan ini memberi memberi peluang kepada ahli untuk melabur dalam dana terkurang nilai.”

 

“Walau bagaimanapun, kami menyarankan ahli agar menyelidik dan menganalisa dana dengan sewajarnya, contohnya melalui fungsi-fungsi yang disediakan dalam platform i-Invest agar ahli memilih dana yang bersesuaian dengan sasaran pelaburan jangka panjang dan menepati profil risiko mereka.”

 

Bagi memastikan kelangsungan industri pengurusan dana dalam waktu yang mencabar ini, KWSP juga akan mengurangkan fi perkhidmatan yang dikenakan ke atas IPD untuk tempoh yang sama sebanyak 50%. Fi perkhidmatan yang akan dikurangkan kepada 0.0625% daripada 0.125% adalah berdasarkan aset di bawah pengurusan (AUM) yang diuruskan IPD dan ia tidak akan dikenakan ke atas dana atau ahli. Bagi ahli yang berusia 55 tahun dan ke atas yang menjalankan transaksi melalui i-Invest, fi perkhidmatan yang dikenakan ke atas IPD dikurangkan kepada 0.125% daripada 0.250% ke atas sesuatu amaun pengeluaran. 
KWSP juga ingin mengingatkan ahli bahawa pengurangan caj ini hanya terpakai untuk pelaburan yang dibuat di bawah SPA KWSP, dan tidak terpakai untuk transaksi atau perkhidmatan KWSP lain, seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.
 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

30 April 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.