Menyimpan wang setiap bulan bukan mudah dan kadangkala memang mencabar. Dalam kesibukan harian, ramai antara kita sukar menyimpan secara konsisten. Kadang-kadang terlupa, tiada masa, gaji belum masuk, atau komitmen bulanan yang tinggi menjadi penghalang. Ada juga yang sering menunggu “ada lebihan duit” baru hendak menabung. Apabila perkara ini berulang, simpanan pun menjadi tidak menentu dan sukar untuk berkembang.
Untuk membantu anda membina disiplin simpanan, KWSP telah memperkenalkan Auto Simpan. Fungsi ini direka khas dalam i-Akaun (Ahli) untuk membantu anda menguruskan caruman sukarela dengan lebih sistematik dan automatik
Apa itu Auto Simpan?
Auto Simpan ialah penambahbaikan kepada caruman sukarela sedia ada yang terdapat di bahagian “Tambah Simpanan” dalam aplikasi KWSP i-Akaun dan portal web i-Akaun (Ahli). Dengan menggunakan perkhidmatan DuitNow Autodebit, anda boleh menetapkan caruman sukarela bulanan secara automatik dan berulang.
Melalui fungsi ini, anda tidak perlu lagi melakukan transaksi secara manual setiap bulan. Sebaliknya, simpanan akan didebit secara automatik mengikut amaun dan tarikh yang anda tetapkan sendiri.
Auto Simpan sangat sesuai bagi anda yang:
- Ingin memastikan simpanan persaraan bertambah secara tetap..
- Mempunyai jadual harian yang padat sehingga sering terlepas pandang untuk menyimpan.
- Mahu mengamalkan konsep “simpan dahulu sebelum berbelanja”.
Apakah jenis caruman sukarela yang boleh ditetapkan dengan Auto Simpan?
Anda boleh menggunakan fungsi Auto Simpan untuk tiga kategori caruman sukarela di bawah:
*Tertakluk kepada terma dan syarat KWSP
Belum ada aplikasi KWSP i-Akaun?
Jangan risau! Muat turun aplikasi KWSP i-Akaun versi terkini secara percuma untuk mula menggunakan fungsi Auto Simpan.
Muat Turun KWSP i-Akaun Sekarang
Bagaimana cara untuk daftar dan aktifkan Auto Simpan?
Anda boleh mendaftar dan mengaktifkan Auto Simpan dengan mudah mengikut saluran pilihan anda. Prosesnya cukup ringkas dan pantas—tidak sampai 5 minit pun!
a) Melalui aplikasi KWSP i-Akaun
b) Melalui portal web i-Akaun (Ahli)
Langkah pendaftaran dan pengaktifan Auto Simpan adalah sama seperti di aplikasi KWSP i-Akaun, cuma dengan paparan skrin yang lebih besar.
Log masuk ke portal web i-Akaun (Ahli): https://iakaun.kwsp.gov.my/portal/member/login
Baca juga: Pendaftaran Akaun KWSP Kini Di Hujung Jari Anda
Apa yang perlu saya tahu tentang Auto Simpan?
1. Bagaimana saya boleh menyemak status pendaftaran Auto Simpan?
Anda boleh menyemak status Auto Simpan melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau portal web i-Akaun (Ahli) dengan mengikuti langkah mudah berikut:
- Pergi ke menu “Profil”.
- Pilih “Transaksi Auto”.
- Pilih “Rekod Auto Simpan”.
Jika pendaftaran berjaya, anda akan menerima notifikasi dan mesej di Peti Masuk (Inbox) i-Akaun.
2. Bolehkah saya ubah amaun atau tarikh potongan selepas daftar Auto Simpan?
Tidak boleh. Jika anda ingin mengubah amaun atau tarikh potongan, anda perlu membatalkan Auto Simpan sedia ada dan mendaftar semula maklumat baharu melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau portal web i-Akaun (Ahli).
3. Adakah Auto Simpan tetap berjalan jika baki dalam akaun bank saya tidak mencukupi?
Transaksi tidak akan berjaya jika baki akaun anda tidak mencukupi pada tarikh ditetapkan. Namun, anda masih boleh membuat caruman secara manual pada bila-bila masa di bahagian “Tambah Simpanan” dengan memilih “Diri Sendiri”.
4. Adakah saya dikenakan caj untuk menggunakan Auto Simpan?
Tiada sebarang caj dikenakan untuk menggunakan Auto Simpan.
5. Adakah saya perlu ada akaun bank tertentu untuk guna Auto Simpan?
Ya. Anda boleh memilih daripada senarai bank berikut semasa proses pendaftaran Auto Simpan:
- RHB;
- AmBank;
- Maybank;
- CIMB Bank;
- Bank Islam Malaysia Berhad;
- Bank Muamalat Malaysia Berhad;
- Hong Leong Bank Berhad.
Nota: Senarai bank akan ditambah dari semasa ke semasa. Sila klik sini untuk semak senarai terkini.
6. Bagaimana saya boleh hentikan Auto Simpan jika tidak lagi mahu meneruskan potongan automatik ini?
Anda boleh membatalkan Auto Simpan yang telah diaktifkan pada bila-bila masa melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau portal web i-Akaun (Ahli) dengan dua cara:
a) Melalui menu Simpanan:
- Pilih menu “Simpanan”.
- Pilih kad “Tambah Simpanan”.
- Pilih “Auto Simpan” > “Lihat butiran” > “Batal Auto Simpan”.
b) Melalui menu Profil:
- Pilih menu “Profil”.
- Pilih “Transaksi Auto” > “Rekod Auto Simpan” > “Batal Auto Simpan”.
Simpan tanpa tekanan, tambah secara auto
Dengan Auto Simpan, anda tidak perlu lagi risau tentang terlupa menyimpan atau menunggu “ada lebihan duit” baru hendak menabung. Jadikan simpanan sebagai rutin bulanan yang mudah, automatik dan konsisten.
Sama ada anda seorang pekerja gig, suri rumah, atau individu yang ingin menambah simpanan persaraan, mendaftar dan mengaktifkan Auto Simpan ialah langkah bijak yang mudah untuk masa depan kewangan yang lebih terjamin.



