Kewajipan Mencarum Mengikut Akta
Tarikh kemas kini: 14-01-2024
Pendahuluan
Sebagai majikan, sebahagian daripada tanggungjawab anda adalah untuk membuat bayaran caruman KWSP bagi pekerja anda, di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan. Anda perlu memastikan caruman bulanan mereka dipotong dengan betul daripada gaji bulanan dan dibayar kepada KWSP. Akses secara dalam talian (online) memudahkan lagi bayaran caruman KWSP.
Pendahuluan
Penentuan Tanggungan Mencarum
Terdapat tiga elemen utama dalam penentuan tanggungan mencarum kepada KWSP.
- Majikan
- Pekerja, Kontrak Perkhidmatan atau Perantisan
- Upah
Anda perlu berdaftar dengan KWSP jika memenuhi kesemua elemen ini.
Majikan adalah pihak yang dengannya seseorang pekerja telah membuat kontrak perkhidmatan atau perantisan.
Majikan termasuklah:
- Pengurus, ejen atau orang yang bertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah kepada seseorang 'pekerja'
- Mana-mana kumpulan orang sama ada atau tidak berkanun atau diperbadankan
Pengurus, ejen atau orang
- Mana-mana Kerajaan, jabatan kerajaan, badan-badan berkanun, pihak-pihak berkuasa tempatan atau badan-badan lain yang dinyatakan di dalam Jadual Kedua, Akta KWSP 1991
Bermaksud orang yang diambil bekerja oleh majikan di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan yang perihalannya tidak dimasukkan di dalam Jadual Pertama, Akta KWSP 1991.
Kontrak perkhidmatan atau perantisan boleh dibuat secara bertulis atau lisan, nyata atau tersirat.
“Kontrak Perkhidmatan” ialah satu perjanjian di mana seseorang bersetuju untuk mengambil bekerja seseorang lain sebagai pekerja dan orang lain itu bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja.
“Kontrak Perantisan” ertinya sesuatu kontrak bertulis yang dibuat oleh seseorang dengan seorang majikan yang mengaku janji untuk mengambil kerja orang itu dan melatih atau menyebabkannya dilatih secara sistematik bagi sesuatu pekerjaan selama suatu tempoh tertentu yang diluluskan oleh majikan yang dalam perjalanan latihan itu perantis itu terikat untuk bekerja dalam perkhidmatan majikan itu. (Rujuk definisi Perantisan - Akta Kerja 1955)
Umur minimum: Umur pekerjaan adalah tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
Umur maksimum: 75 Tahun
Orang Yang Tidak Diwajibkan Mencarum
Orang-orang yang dinyatakan di dalam Jadual Pertama Akta KWSP 1991 adalah dikecualikan daripada mencarum seperti berikut:
- Orang Asli Nomad melainkan jika dalam mana-mana hal tertentu Ketua Pengarah Jabatan Orang Asli mengesyorkan selainnya
- Orang-orang gaji domestik sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen 3 Akta Pampasan Pekerja 1952 [Akta 273], KECUALI apabila diambil bekerja:
- oleh mana-mana majikan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua kepada Akta ini;
- oleh mana-mana pertubuhan yang didaftarkan atau dikehendaki didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa itu berkuatkuasa berhubungan dengan pendaftaran pertubuhan-pertubuhan atau pertubuhan-pertubuhan koperasi
- dalam mana-mana perniagaan yang didaftarkan atau dilesenkan atau dikehendaki didaftarkan atau dilesenkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 [Akta 197], Ordinan Pelesenan Tred bagi Negeri Sabah [Sabah Bab 144], Ordinan Pelesenan Perniagaan, Profesion dan Tred bagi Negeri Sarawak [Sarawak Bab 33], atau Ordinan Nama-Nama Perniagaan bagi Negeri Sarawak [Sarawak Bab 64], mengikut mana yang berkenaan
- oleh mana-mana perbadanan yang diperbadankan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.
- Pekerja luar (sebagaimana yang ditakrifkan dalam Seksyen 3 Akta Pampasan Pekerja 1952 [Akta 273]).
- Orang-orang yang ditahan di mana-mana penjara, Sekolah Henry Gurney, tempat tahanan, hospital mental dan Pusat Pemulihan yang mempunyai erti yang sama dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 atau penempatan penyakit kusta.
- Anggota Pentadbiran Kerajaan (Rujuk Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan).
- Orang-orang yang diambil bekerja dan negara domisilnya adalah di luar Malaysia (warganegara asing) yang tidak memilih untuk mencarum.
- Pekerja yang telah mencapai umur 75 tahun.
Orang Yang Diwajibkan Mencarum
Selain daripada orang-orang yang dinyatakan di dalam Jadual Pertama Akta KWSP 1991, seorang majikan hendaklah membayar caruman KWSP bagi mana-mana orang yang diambil untuk bekerja di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan.
Bayaran Yang Dikenakan Caruman KWSP
Bayaran Yang Tidak Dikenakan Caruman KWSP
- Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada Akta KWSP 1991.
Penjelasan Ke Atas Bayaran Yang Dikecualikan
Caj Perkhidmatan
- Caj perkhidmatan ialah apa-apa wang atau bayaran sama ada dalam bentuk caj perkhidmatan, yuran perkhidmatan, tip atau bayaran-bayaran lain yang dibayar oleh, dicajkan kepada, dikutip daripada atau diberi secara sukarela oleh pelanggan atau orang-orang lain (yang bukannya majikan) berhubung dengan perniagaan majikan itu.
- Bayaran itu dibayar kepada seseorang pekerja sama ada pada keseluruhan atau sebahagian secara langsung atau tidak langsung dan sama ada di bawah kontrak perkhidmatan di antara majikan dan pekerja atau selainnya.
Bayaran Lebih Masa
Apa-apa bayaran yang kena dibayar oleh majikan kepada pekerja untuk kerja yang melebihi masa bekerja biasa pekerja tersebut dan termasuk apa-apa bayaran yang dibayar kepada pekerja bagi kerja yang dijalankan pada hari kelepasan dan hari rehat.
Ganjaran
Apa-apa bayaran yang dibayar oleh majikan kepada pekerja atas sebab tamat tempoh perkhidmatan atau pemberhentian secara sukarela sebagai mengiktiraf perkhidmatan pekerja tersebut.
Faedah Persaraan & Pemindahan Faedah Persaraan
Apa-apa yang dibayar kepada pekerja kerana bersara samada secara wajib atau pilihan atau atas sebab-sebab kesihatan seperti yang dinyatakan di bawah perkhidmatan pekerja itu.
|
"Faedah Persaraan" bermaksud apa-apa bayaran yang dibayar kepada pekerja kerana bersara sama ada secara wajib atau pilihan atau atas sebab-sebab kesihatan seperti yang dinyatakan di bawah kontrak perkhidmatan pekerja tersebut.
Majikan boleh dengan persetujuan pekerja, membuat pemindahan ke dalam akaun KWSP pekerja apa-apa wang dari skim atau rancangan persaraan yang berhubungan dengan pekerja tersebut. Pemindahan tersebut boleh dibuat melalui Borang KWSP 16F sebagai individu ataupun berkumpulan.
Istilah am untuk pemindahan wang Faedah Persaraan kepada KWSP adalah:
- Majikan perlu mendapatkan persetujuan daripada pekerja mengikut peruntukan Seksyen 44 Akta KWSP sebelum pemindahan Faedah Persaraan
- Sekiranya majikan gagal menghubungi pekerja/ahli dan telah memohon untuk faedah persaraan dikreditkan ke dalam akaun KWSP ahli/pekerja, majikan dikehendaki melengkapkan dan menandatangani surat Akuan Bersama dan Indemniti Pemindahan Faedah Persaraan Pekerja kepada KWSP.
Muat Turun Borang KWSP 16FMuat Turun Borang KWSP 16F (Berkumpulan)
Faedah Pengurangan Pekerja, Pemberhentian Sementara Atau Penamatan
Apa-apa yang dibayar oleh majikan kepada pekerja lanjutan dari pelaksanaan pengurangan, pemberhentian atau penamatan pekerja.
Mana-mana Elaun Perjalanan Atau Nilai Mana-mana Konsesi Perjalanan
Apa-apa bayaran yang dibayar oleh majikan kepada pekerja untuk tujuan menampung perbelanjaan perjalanan dan pengangkutan.
Terdapat enam jenis bayaran yang dikecualikan daripada caruman KWSP.
Frequently Asked Question
1. Apakah definisi 'Majikan'?
Majikan adalah orang yang dengannya seseorang pekerja telah membuat kontrak perkhidmatan atau perantisan.
Majikan termasuklah:
a. Pengurus, ejen atau orang yang bertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah kepada seseorang 'pekerja'.
b. Mana-mana kumpulan orang sama ada atau tidak berkanun atau diperbadankan
c. Mana-mana Kerajaan, jabatan Kerajaan, badan-badan berkanun, pihak-pihak berkuasa tempatan atau badan-badan lain yang dinyatakan di dalam Jadual Kedua, Akta KWSP 1991.
2. Apakah definisi 'Pekerja'?
Pekerja adalah orang yang diambil bekerja oleh majikan di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan. Kontrak perkhidmatan atau perantisan itu boleh dalam secara bertulis atau secara lisan, nyata atau tersirat.
3. Adakah ditetapkan umur minimum yang diwajibkan mencarum?
Tiada had umur minimum yang ditetapkan. Setiap pekerja adalah bertanggung (liable) untuk mencarum. Walau bagaimanapun di bawah Akta (Penggajian) Kanak-kanak dan Orang Muda 1966 (Akta 350) (Disemak 1998) - had umur minimum bekerja adalah 14 tahun.
4. Apakah maksud 'Caj Lewat Bayar dan Dividen' atas kelewatan bayaran caruman?
Caj Lewat Bayar merupakan denda yang dikenakan kepada majikan mengikut peruntukan Seksyen 49(1) Akta KWSP 1991 kerana gagal membayar caruman dalam tempoh yang ditetapkan oleh KWSP.
Selain daripada Caj Lewat Bayar, majikan juga dikehendaki membayar dividen yang sepatutnya terakru ke atas caruman yang lewat diterima bagi tiap-tiap satu bulan mengikut kadar dividen semasa yang ditetapkan oleh Lembaga KWSP bagi tahun berkenaan.
5. Apakah maksud 'Caruman'?
Caruman adalah potongan wajib dari gaji pekerja yang merupakan syer pekerja beserta dengan tambahan syer majikan yang perlu dicarumkan dalam tempoh yang ditetapkan. Caruman bagi sesuatu bulan merupakan potongan gaji bulan sebelumnya. Majikan hendaklah membayar caruman berdasarkan kadar yang dinyatakan di dalam Jadual Ketiga, Akta KWSP 1991. (tertakluk kepada pindaan dari semasa ke semasa)
Contoh: Syer pekerja bagi potongan gaji bulan Januari 2014 bersama-sama dengan syer majikan hendaklah dibayar sebagai caruman Februari pada atau sebelum 15 Februari 2014.
6. Apakah maksud 'Orang gaji Domestik'?
Orang gaji domestik adalah sepertimana yang ditakrifkan oleh Seksyen 3, Akta Pampasan Pekerja 1952. Antara lainnya:
Pembantu rumah, Tukang masak, Tukang kebun, Tukang cuci, Pengasuh (babysitter), pemandu dan seumpamanya.
7. Apakah maksud 'Bulan Caruman'?
Bulan caruman bermaksud bulan di mana caruman wajib dibayar berdasarkan bulan gaji sebelumnya. Sebagai contoh untuk gaji bulan Januari 2014, bulan caruman adalah Februari 2014 dan hendaklah dibayar sebelum atau pada 15 Februari 2014.
8. Apakah 'Komponen Upah'?
Antara bayaran yang dikenakan caruman KWSP:
- Gaji
- Bonus
- Elaun
- Komisen
- Insentif
- Tunggakan upah
- Bayaran bagi cuti rehat tahunan dan cuti sakit yang tidak digunakan
- Upah yang dibayar semasa cuti bersalin
- Upah yang dibayar semasa cuti belajar
9. Apakah maksud 'Upah'?
Upah ialah semua saraan dalam bentuk wang yang dibayar kepada pekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan sama ada ia dipersetujui untuk dibayar secara bulanan, mingguan, harian atau selainnya.
10. Apakah perbezaan antara 'Kontrak Perkhidmatan' dan 'Kontrak untuk Perkhidmatan'?
'Kontrak Perkhidmatan' ialah suatu perjanjian, yang dipersetujui bersama antara majikan dengan pekerja untuk menyempurnakan sesuatu perkhidmatan. Perjanjian boleh dibuat secara bertulis, lisan, nyata atau tersirat.
'Kontrak untuk Perkhidmatan' ialah suatu perjanjian untuk memberi perkhidmatan kepada seseorang atau kumpulan orang. Orang yang memberi perkhidmatan adalah bebas dari kawalan dan pengawasan orang atau kumpulan orang yang mendapat perkhidmatan.
11. Apakah maksud 'Bukan Upah'?
Bayaran yang Dikecualikan Caruman KWSP:
- Caj perkhidmatan
- Bayaran kerja lebih masa
- Ganjaran
- Faedah persaraan
- Faedah pengurangan pekerja
- Pemberhentian sementara atau penamatan
- Bayaran sebagai ganti notis penamatan perkhidmatan
- Elaun perjalanan atau nilai mana-mana konsesi perjalanan.
Senarai diatas adalah tidak terhad.
12. Siapakah Pemeriksa KWSP?
Pemeriksa KWSP adalah pegawai yang dilantik di bawah Seksyen 34, Akta KWSP 1991 yang diberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan ke atas majikan.
13. Bolehkah caruman bulanan dibayar dua bulan sekali atau digabungkan sebagai satu bulan?
Tidak boleh. Berdasarkan Seksyen 43(1), Akta KWSP 1991, majikan wajib membayar caruman secara bulanan.
14. Bagaimanakah caranya jika majikan ingin mencarum melebihi kadar syer majikan?
Tiada borang diperlukan bagi permohonan VE (Syer Majikan). Majikan perlu mengunci masuk permohonan VE (Syer Pekerja) dan VE (Syer Majikan) melalui i-Akaun (Majikan).
15. Jika pekerja memilih untuk mencarum melebihi kadar bagi syer pekerja, bolehkah majikan memotong gaji pekerja untuk tujuan tersebut?
Ya, jika pekerja tersebut telah membuat pilihan Caruman Sukarela (VE) dengan mengisi Borang KWSP 17A (AHL)/ 18A (AHL)- Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun (Syer Pekerja).
16. Bagaimanakah pengiraan syer majikan dan pekerja bagi amaun upah melebihi RM20,000.00?
Bagi bulan-bulan apabila upahnya melebihi RM20,000.00, kadar caruman oleh pekerja hendaklah dikira pada 11% daripada amaun upah bagi bulan itu, dan kadar caruman oleh majikan ialah 12% daripada amaun upah bagi bulan itu (Berkuat kuasa pada gaji/upah Januari 2021 hingga Disember 2021 (bulan caruman Februari 2021 hingga Januari 2022). Jumlah caruman yang termasuk wang sen hendaklah digenapkan kepada ringgit berikutnya.
Untuk maklumat lanjut, rujuk Jadual Ketiga, Akta KWSP 1991.
17. Adakah tunggakan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dikenakan caruman KWSP?
Ya dan dibayar sebagai caruman bulan sebenar.
Rasional:
KGT adalah bayaran yang perlu dibayar bagi bulan sebenar berlakunya kenaikan gaji. Oleh itu, caruman bagi KGT hendaklah dibayar sebagai caruman bulan sebenar.
18. Adakah gaji pekerja yang dibayar mengikut jam dikenakan caruman KWSP?
Ya, sekiranya bekerja dalam mana-mana hari dalam sesuatu bulan dan menerima upah melebihi RM10.00 (sama ada berbentuk gaji hari, jam atau piece rated) adalah dikenakan caruman KWSP.
19. Adakah bayaran kerja lebih masa dikenakan caruman KWSP?
Bayaran kerja lebih masa tidak dikenakan caruman KWSP.
20. Adakah pelarasan gaji dikenakan caruman KWSP?
Ya dan dibayar sebagai caruman semasa.
Rasional:
Pelarasan gaji adalah bayaran yang dibuat bukan secara berjadual dan tidak tertakluk kepada mana-mana bulan. Oleh itu, caruman bagi pelarasan gaji hendaklah dibayar sebagai caruman bulan semasa.
21. Adakah upah yang dibayar jika bekerja pada hari cuti (cuti umum, cuti rehat) dikenakan bayaran caruman KWSP?
Ya, kecuali kehadiran bekerja adalah dianggap sebagai kerja lebih masa.
22. Apakah maksud 'Pekerja Yang Diwajibkan Mencarum'?
a. Pekerja Tetap
b. Pekerja Kontrak
c. Pekerja Sambilan
d. Pekerja Sementara
e. Pekerja dalam tempoh Percubaan
f. Pengarah Syarikat yang menerima gaji atau upah
g. Telah mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Hilang Upaya dan bekerja semula dalam mana-mana pekerjaan
h. Telah mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Umur 55 tahun dan belum mencapai 75 tahun dan bekerja dalam mana-mana pekerjaan
i. Telah diberi taraf berpencen dan bekerja dengan majikan selain Kerajaan Persekutuan, Negeri atau pihak Berkuasa Berkanun atau Tempatan
j. Telah mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Pekerja berpencen dan bekerja semula selepas umur persaraan.
23. Adakah elaun trip pemandu layak dicarumkan?
Elaun trip adalah termasuk dalam elemen upah. Oleh itu, ia perlu dicarumkan.
24. Adakah pekerja sambilan atau bekerja lebih dari satu majikan dikenakan caruman KWSP?
Ya, dikenakan caruman KWSP.
25. Bilakah seorang pekerja itu layak dibayar caruman KWSP?
Apabila menerima upah lebih dari RM10.00 dalam suatu bulan atau sebahagian daripadanya.
Contohnya, bekerja satu hari pada bulan Mac 2013 dan menerima upah RM10.01.
26. Adakah pekerja warganegara asing diwajibkan mencarum?
Pekerja warganegara asing tidak wajib mencarum tetapi boleh membuat pilihan untuk mencarum. Jika telah memilih untuk mencarum, pekerja dan majikan wajib untuk mencarum dan tidak boleh membatalkan pemilihan yang telah dibuat.
27. Berapakah jumlah bilangan pekerja minimum yang wajib dicarum?
Seorang.
28. Adakah syarikat asing yang mengambil warganegara Malaysia bekerja wajib mencarum?
Ya, sekiranya syarikat asing berdaftar dan beroperasi di Malaysia.
29. Adakah pengarah syarikat perlu mendaftar sebagai ahli serta mencarum kepada KWSP?
Pengarah yang dibayar gaji wajib mendaftar sebagai ahli dan mencarum kepada KWSP.
30. Adakah tanggungan mencarum bagi pekerja yang meninggal dunia?
Tidak layak mencarum bagi bulan berlakunya kematian (Seksyen 43(7), Akta KWSP 1991).
31. Dalam keadaan manakah majikan akan dikenakan Caj Lewat Bayar dan Dividen?
Caruman yang lewat dibayar akan dikenakan Caj Lewat Bayar dan Dividen di mana Caj Lewat Bayar akan dikenakan apabila bayaran untuk sesuatu bulan caruman dibuat selepas 15hb bulan berkenaan. Dividen akan dikenakan apabila bayaran untuk sesuatu bulan caruman dibuat pada atau selepas 1 hb bulan berikutnya. Caruman yang lewat dibayar adalah:
a. Caruman tertunggak
b. Caruman terkurang bayar
Contoh:
Senario 1:
Majikan membuat bayaran caruman tertunggak bagi Feb 2014 pada 20 Feb 2014. Majikan akan dikenakan Caj Lewat Bayar sahaja.
Senario 2:
Majikan membuat bayaran caruman tertunggak bagi Feb 2014 pada 2 Mac 2014. Majikan akan dikenakan Caj Lewat Bayar dan Dividen.
32. Sekiranya 15hb merupakan cuti umum, adakah majikan masih dikenakan Caj Lewat Bayar jika bayaran dibuat pada hari bekerja berikutnya?
Tidak.
33. Bolehkah majikan memotong syer majikan daripada gaji pekerja?
Tidak boleh.
Mengikut Seksyen 47(1), Akta KWSP 1991 mana-mana majikan memotong atau cuba memotong daripada upah atau saraan mana-mana pekerja keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada caruman majikan, boleh dikenakan penjara tidak melebihi 6 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
34. Bolehkah majikan memotong syer pekerja dari upah pekerja?
Ya, majikan boleh memotong syer pekerja untuk upah yang dibayar bagi bulan itu sahaja.
Seksyen 48(3), Akta KWSP 1991 Mana-mana majikan yang memotong caruman pekerja daripada upah pekerja dan gagal membayar jumlah wang yang dipotong itu atau mana-mana bahagiannya kepada KWSP, boleh dikenakan tindakan penjara tidak melebihi 6 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
35. Apakah tanggungjawab majikan?
1. Mendaftar sebagai majikan KWSP dalam tempoh 7 hari dari tarikh menggaji pekerja
2. Mendaftar pekerja sebagai ahli KWSP
3. Menyimpan buku/daftar upah/gaji
4. Menyediakan penyata upah/gaji
5. Membayar caruman KWSP
6. Memaklumkan KWSP perkara berikut:
- Maklumat dalam penyata caruman KWSP berbeza dengan rekod majikan
- Pertukaran alamat dan nama/status majikan
- Penamatan tanggungjawab mencarum
- Tidak mempunyai tanggungan (tiada pekerja)
36. Apakah tanggungjawab Pengarah?
Tanggungjawab Pengarah adalah sama sepertimana tanggungjawab majikan.
37. Apakah kuasa-kuasa Pemeriksa?
Kuasa-kuasa pemeriksa adalah seperti mana yang dinyatakan dalam Seksyen 35, Akta KWSP 1991. Antara lain seperti berikut:
- Memasuki mana-mana premis perniagaan yang mempunyai pekerja.
- Membuat pemeriksaan dan siasatan bagi memastikan peruntukan-peruntukan Akta dipatuhi.
- Membuat soal siasat sama ada secara bersendirian atau dengan kehadiran orang lain untuk mendapatkan maklumat.
38. Bolehkah Pegawai Pemeriksa KWSP menerima wang tunai?
Pegawai Pemeriksa KWSP tidak boleh menerima bayaran tunai dari majikan atau wakil majikan.
Artikel Untuk Anda
Bacaan tambahan untuk anda