Kemaskini terakhir : 07/09/2021 10:55     

KWSP JALIN KERJASAMA DENGAN GRAB BAGI MENGGALAKKAN RAKAN PEMANDU DAN PENGHANTAR MEMBUAT SIMPANAN PERSARAAN

KUALA LUMPUR, 7 September 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Grab Malaysia (Grab) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan komuniti rakan pemandu dan penghantar mereka menabung untuk simpanan persaraan melalui program i-Saraan bagi ahli yang berumur bawah 55 tahun atau caruman sukarela bagi yang berumur 55 dan ke atas. MoU ini adalah kesinambungan daripada MoU yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada Ogos 2018.

i-Saraan ialah caruman sukarela yang membolehkan individu yang bekerja dalam ekonomi gig dan juga yang bekerja sendiri menabung untuk simpanan persaraan mereka melalui caruman di KWSP. Mereka yang mencarum dalam i-Saraan akan menerima insentif Kerajaan sebanyak 15 peratus berdasarkan jumlah caruman individu setahun, sehingga maksimum RM250 setahun. Bawah program caruman sukarela pula, individu boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa sehingga RM60,000 setahun.


Mulai 1 September 2021, Grab akan memberi insentif untuk rakan pemandu dan penghantar yang berkelayakan seperti yang dinyatakan dalam MoU tersebut:

No.

Kategori rakan berkelayakan

Insentif daripada Grab

1

Rakan pemandu dan penghantar berumur bawah 55 tahun yang mencarum melalui program i-Saraan KWSP

Caruman tambahan sebanyak 5%, sehingga maksimum RM80 setiap tahun

2

Rakan pemandu dan penghantar berumur 55 tahun ke atas yang mencarum melalui program caruman sukarela KWSP

Caruman tambahan sebanyak 10%, sehingga maksimum RM120 setiap tahun

3

Rakan pemandu dan penghantar yang dikenal pasti sebagai orang kurang upaya (OKU) bagi semua peringkat umur yang mencarum melalui i-Saraan atau program caruman sukarela KWSP

Caruman tambahan sebanyak 10%, sehingga maksimum RM120 setiap tahun


Dengan membuat simpanan awal walaupun dengan jumlah yang kecil, rakan pemandu dan penghantar Grab akan mendapat manfaat daripada penggandaan dividen. Sebagai contoh, melalui penggandaan dividen, individu yang mencarum RM10 sebulan untuk tempoh 30 tahun akan menggandakan simpanan mereka menjadi RM8,220 selepas 30 tahun, atau dua kali ganda daripada jumlah caruman yang dibuat. Jika rakan pemandu dan penghantar Grab mencarum RM140 sebulan, mereka berpeluang menikmati insentif Grab dan i-Saraan, memberi mereka jumlah terkumpul sebanyak RM114,840 dalam masa 30 tahun.


Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, "Kerjasama KWSP dan Grab ini akan meningkatkan kesejahteraan persaraan rakan pemandu dan penghantar mereka. Tahniah diucapkan kepada pihak Grab atas komitmen untuk memberi insentif tambahan bagi menggalakkan pekerja menabung untuk persaraan. MoU ini juga bertujuan mempromosikan literasi kewangan dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar Grab serta kepentingan membuat persediaan persaraan, terutamanya dalam landskap ekonomi yang mencabar ini di mana semua pihak perlu cakna dengan keadaan kewangan masing-masing.


“Kami berharap komuniti rakan pemandu dan penghantar Grab yang amat bekerja keras akan mendaftar sebagai ahli KWSP dan membuat simpanan untuk tabung persaraan mereka, sama ada melalui program i-Saraan atau caruman sukarela. Ini bukan sahaja dapat membantu mereka membuat persediaan persaraan, malah mereka juga akan dapat mendapat manfaat sebagai ahli KWSP, antaranya dividen tahunan ke atas simpanan, pelepasan cukai, dan bantuan kematian.”


Mengulas mengenai kerjasama ini, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, “Kami berbesar hati atas kerjasama dengan KWSP ini yang selaras dengan langkah Kerajaan yang ingin mewujudkan ekosistem perlindungan sosial yang lebih holistik. Di Grab, kami komited untuk memberikan peluang sama rata untuk mengakses mata pencarian baru dan juga membantu mengatasi pengangguran dengan menggalakkan pendapatan tambahan melalui ekonomi digital - terutama bagi mereka yang berkeadaan unik, seperti orang kurang upaya dan pesara.


“Berikutan pandemik, terdapat penambahan pendaftaran yang mendadak untuk menjadi rakan pemandu dan penghantar, dengan lebih 50,000 orang menyertai platform ini. Mereka bekerja keras setiap hari untuk menampung diri dan keluarga, dan ini mendorong kami untuk memberikan yang terbaik. Disebabkan itu, kami akan membuat caruman tambahan sebanyak 10% untuk rakan kami yang berumur 55 tahun ke atas yang menyertai skim caruman sukarela, dan juga rakan OKU. Kami percaya bahawa kerjasama ini merupakan langkah yang baik, di mana kerjasama pihak awam dan swasta dapat menggalakkan pegangan kewangan yang akan seterusnya mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat Malaysia,” beliau kata.


Untuk maklumat lebih lanjut mengenai inisiatif ini, ahli boleh merujuk saluran komunikasi rasmi KWSP di laman web www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000.


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
7 September 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.