Kemaskini terakhir : 23/11/2021 9:52     

PERSIDANGAN KESEJAHTERAAN SOSIAL ANTARABANGSA 2021 BINCANG MENGUBAH ARUS KETAKSAMAAN

KUALA LUMPUR, 23 November 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini membuka Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC 2021 ) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Y.A.B. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. 

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Kewangan Y.B. Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi KWSP Y.Bhg. Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Y.Bhg. Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Pengurusan Kanan KWSP, dan barisan speaker ternama dari dalam dan luar negara yang berkongsi maklumat berkisar tema persidangan tahun ini iaitu, ‘The New Narrative: Turning the Tide on Inequality’.

Di dalam ucapan beliau, Dato’ Sri Ismail Sabri berkata sejak COVID-19 melanda, sistem perlindungan sosial boleh bertindak sebagai penstabil semasa krisis, serta jaringan keselamatan asas untuk golongan miskin dan rentan.

“Fokus Rancangan Malaysia ke-12 ke arah kebajikan rakyat, perlindungan sosial, dan projek bertumpukan rakyat berikutan COVID-19, bertujuan untuk memulihkan pembangunan sosio-ekonomi Malaysia untuk kemampanan dan kemakmuran jangka panjang sebagai asas dalam menambah baik kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan kekal komited dalam membasmi kemiskinan melalui kolaborasi antara agensi kerajaan dan badan berkanun. Pembuat dasar perlu mengenal pasti peranan perlindungan sosial dalam menjuarai kesejahteraan sosial dengan merangka polisi yang mengambil kira suara rakyat. Penyelesaian perlindungan sosial yang baru dan inovatif adalah amat diperlukan. Ini adalah untuk mengimbangi antara peruntukan jaringan keselamatan, menggalakkan keutuhan kewangan, dan pembangunan modal insan.

“Diharapkan ISWC 2021 boleh menjadi platform yang baik dalam perkongsian idea dan maklumat yang membina, serta amalan terbaik dalam ekosistem perlindungan sosial,” kata Dato’ Sri Ismail Sabri.

Dalam ucapannya berkaitan ketaksamaan dalam perlidungan sosial, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata antara perkara yang paling membimbangkan akibat daripada pandemik ini ialah peningkatan isu ketaksamaan. 

“Isu ketaksamaan ini telah wujud awal sebelum berlakunya pandemik. Walaupun banyak negara telah cuba mengurangkan impak COVID-19 dengan menggerakkan pelbagai sumber secara intensif dan berjangka pendek, usaha-usaha ini hanyalah untuk sementara waktu dan tidak memberikan penyelesaian jangka panjang yang berupaya memelihara hayat dan kehidupan masyarakat. 

“Oleh itu, ISWC tahun ini telah dinaik taraf di mana para penganjur, yang merupakan kuasa-kuasa berpengaruh dalam negara, telah berkumpul bersama-sama barisan penceramah yang ternama bagi menyelami isu-isu berkaitan ketaksamaan, termasuk dari aspek ekonomi, penjagaan kesihatan, dan pendidikan,” tambah Datuk Seri Amir Hamzah.

ISWC 2021 ini dianjurkan secara bersama oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan International Social Security Association (ISSA). Rakan penganjur adalah BNP Paribas Asset Management, BNY Mellon, FWD Takaful Bhd, Maybank, dan CIMB. Penutupan persidangan dua hari ini akan dibuat pada hari esok oleh Y.B. Tengku Datuk Seri Utama Zafrul.

Peserta persidangan ini adalah termasuk pembuat dasar negara, kementerian, agensi, dan pihak berkepentingan daripada pelbagai latar belakang, dan pihak umum. 

Antara barisan speaker di persidangan ini ialah Professor Joseph E. Stiglitz, pemenang anugerah 2021 Nobel Memorial dalam Ekonomi; Mariana Mazzucato, pengarang Mission Economy; Nick Vujicic, pengarang buku terlaris New York Times; Nadiah Wan, Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Hospital Kota Damansara; Cheryl Goh, Naib Presiden Pemasaran di GRAB; Sumitra Visvanathan, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO ); dan Dato’ Dr Anas Alam Faizli, Ketua Pegawai Eksekutif di ProtectHealth.

Antara tarikan lain semasa ISWC 2021 adalah kaunter virtual oleh semua rakan penganjur - BNP Paribas Asset Management, BNY Mellon, FWD Takaful Bhd, Maybank, CIMB – dan daripada ProtectHealth, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM ), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Khidmat Nasihat Persaraan (RAS ) KWSP, dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
23 November 2021
 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.