Kemaskini terakhir : 30/12/2020 12:18     

TARIKH PEMBAYARAN CARUMAN WAJIB 2021

KUALA LUMPUR, 30 Disember 2020: Tarikh pembayaran caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tahun 2021 ditetapkan pada setiap 15 haribulan, bermula Januari 2021. Ini selaras dengan tarikh asal pembayaran caruman yang ditetapkan oleh KWSP.

KWSP sebelum ini telah pun melanjutkan tarikh bayaran caruman tersebut daripada 15 haribulan kepada 30 haribulan bagi bulan April hingga Disember 2020, dengan tujuan untuk meringankan beban majikan berikutan keadaan semasa yang tidak menentu disebabkan pandemik COVID-19. Tarikh pembayaran caruman dikembalikan kepada tarikh asal bagi memastikan caruman pekerja dibayar tanpa kelewatan.

Majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP, perbankan Internet ataupun di kaunter bank yang dilantik.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
30 Disember 2020

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.