Hubungi Kami Melalui WhatsApp
Terokai Apa Yang Boleh Anda Lakukan Di WhatsApp!
Soalan Lazim
Frequently Asked Question
1. Apakah WhatsApp KWSPMalaysia?
WhatsApp KWSPMalaysia ialah saluran WhatsApp rasmi KWSP yang dilancarkan pada 8 Ogos 2025 untuk membantu pengguna dengan pertanyaan serta maklumat mengenai produk dan perkhidmatan KWSP. Saluran ini menyediakan fungsi seperti berikut:
a) Menu berpandu untuk membantu pengguna mendapatkan maklumat terkini berkaitan produk dan perkhidmatan KWSP.
b) Jawapan yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI) berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pengguna.
c) Pilihan untuk berhubung dengan Penasihat Perkhidmatan Live Chat bagi bantuan lanjut.
2. Apakah jenis perkhidmatan yang disediakan melalui WhatsApp KWSPMalaysia?
Melalui WhatsApp KWSPMalaysia, anda boleh mendapatkan sokongan melalui menu berpandu dan jawapan yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI).
Fungsi ini membolehkan anda:
a) Mendapatkan maklumat umum berkaitan produk dan perkhidmatan KWSP, termasuk caruman untuk ahli dan majikan, serta maklumat berkaitan pengeluaran untuk ahli.
b) Mendapatkan bantuan untuk semakan berkaitan nombor ahli KWSP, status caruman serta status permohonan seperti pendaftaran ahli, penamaan dan pengeluaran terus daripada Penasihat Perkhidmatan Live Chat kami.
Nota: WhatsApp KWSPMalaysia tidak akan meminta maklumat sensitif seperti nombor PIN, kata laluan atau nombor akaun bank. WhatsApp KWSPMalaysia ini juga tidak akan memberikan maklumat peribadi seperti baki simpanan, jumlah pengeluaran atau butiran penamaan.
3. Bagaimana saya boleh pastikan saya berinteraksi dengan saluran rasmi WhatsApp KWSPMalaysia?
Untuk memastikan anda berinteraksi melalui saluran rasmi yang sah, semak sama ada nombor WhatsApp KWSPMalaysia yang digunakan ialah 03-8922 6000 atau akaun tersebut memaparkan lencana pengesahan (verified badge) bersebelahan nama “KWSPMalaysia”. Lencana ini menandakan bahawa akaun tersebut telah disahkan oleh WhatsApp sebagai saluran rasmi KWSP.
Nota: Pastikan lencana pengesahan (verified badge) kelihatan sebelum anda memulakan interaksi bagi mengelakkan komunikasi dengan saluran palsu atau menjadi mangsa scam.
4. Di manakah saya boleh mengakses WhatsApp KWSPMalaysia?
Anda boleh mengakses WhatsApp KWSPMalaysia melalui saluran-saluran berikut:
a) Laman web rasmi KWSP (https://www.kwsp.gov.my/)
b) Aplikasi KWSP i-Akaun
c) Portal web i-Akaun (Ahli)
d) Portal web i-Akaun (Majikan)
Nota: Untuk keselamatan, hanya gunakan saluran rasmi yang disenaraikan di atas apabila mengakses WhatsApp KWSPMalaysia, kerana akses melalui sumber tidak rasmi atau pihak ketiga boleh mendedahkan anda kepada akaun palsu dan risiko penipuan.
5. Adakah WhatsApp KWSPMalaysia beroperasi 24 jam?
WhatsApp KWSPMalaysia beroperasi dalam dua mod perkhidmatan utama dengan waktu operasi yang berbeza seperti berikut:
a) Fungsi Menu Berpandu dan Kecerdasan Buatan (AI)
Fungsi ini tersedia 24 jam sehari, 7 hari seminggu, termasuk pada hujung minggu dan cuti umum. Pengguna boleh mendapatkan maklumat umum mengenai produk/perkhidmatan KWSP melalui menu berpandu dan capaian jawapan pantas yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI).
b) Penasihat Perkhidmatan Live Chat
Khidmat sokongan Penasihat Perkhidmatan Live Chat hanya tersedia pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 8:30 pagi hingga 4:30 petang. Perkhidmatan ini tidak tersedia pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) dan cuti umum kebangsaan/Selangor.
Frequently Asked Question
6. Bagaimanakah cara untuk memulakan interaksi melalui WhatsApp KWSPMalaysia?
Berikut adalah beberapa cara mudah untuk memulakan interaksi melalui WhatsApp KWSPMalaysia:
a) Melalui laman web rasmi KWSP, portal web i-Akaun (Ahli), atau portal web i-Akaun (Majikan)
i. Klik ikon WhatsApp di laman utama.
ii. Imbas kod QR yang tertera di skrin menggunakan telefon mudah alih anda, atau klik butang “Mulakan Perbualan” untuk membuka WhatsApp Web.
iii. Taip ‘Hai’ untuk mulakan perbualan.
b) Melalui aplikasi KWSP i-Akaun
i. Tekan ikon WhatsApp untuk memulakan perbualan.
ii. Taip ‘Hai’ untuk mulakan perbualan.
7. Adakah interaksi saya dengan WhatsApp KWSPMalaysia akan diteruskan jika saya beralih daripada aplikasi di telefon mudah alih ke WhatsApp Web di komputer?
Ya. Interaksi anda dengan WhatsApp KWSPMalaysia akan diteruskan selagi anda menggunakan akaun WhatsApp yang sama dan telah dipautkan ke Whatsapp Web di komputer anda. Sekiranya akaun WhatsApp anda belum dipautkan pada komputer, anda perlu:
a) Layari https://web.whatsapp.com/ di komputer anda.
b) Imbas kod QR menggunakan aplikasi WhatsApp di telefon mudah alih anda.
Setelah berjaya dipautkan ke WhatsApp Web di komputer anda, anda boleh meneruskan semula interaksi.
8. Bagaimanakah cara terbaik untuk berinteraksi dengan WhatsApp KWSPMalaysia?
Semasa berinteraksi dengan WhatsApp KWSPMalaysia, anda disarankan untuk memulakan pertanyaan dengan kata kunci yang jelas dan khusus seperti berikut:
a) Guna kata kunci yang tepat
i. Taip kata kunci dalam ruang perbualan untuk menavigasi menu berpandu
ii. Contoh:
- “Menu” untuk melihat pilihan yang tersedia
- “Ejen” untuk berinteraksi dengan Penasihat Perkhidmatan Live Chat
b) Nyatakan peranan anda (Ahli atau Majikan)
i. Maklumkan sama ada anda seorang ahli atau majikan supaya maklumat yang
diberikan lebih tepat dan bersesuaian dengan keperluan anda.
ii. Contoh:
- “Saya ahli dan ingin tahu…”
- “Saya majikan dan ingin semak…”
c) Berikan maklumat yang terperinci
i. Rujuk kembali topik terdahulu apabila bertanya soalan susulan supaya jawapan lebih tepat dan relaven.
ii. Contoh:
- “Berkenaan pengeluaran rumah tadi…”
- “Tentang caruman yang saya tanya sebelum ini, bagaimana cara...”
Frequently Asked Question
9. Adakah selamat untuk saya berinteraksi melalui WhatsApp KWSPMalaysia dan adakah data saya dilindungi?
Ya. Interaksi melalui saluran WhatsApp KWSPMalaysia adalah selamat dan dilindungi melalui penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption), yang memastikan hanya anda dan KWSP boleh membaca mesej yang dihantar. KWSP tidak menyimpan atau meminta maklumat peribadi sensitif melalui WhatsApp, dan sebarang maklumat yang dikongsi melalui pautan akan dikendalikan mengikut dasar privasi KWSP. Namun, KWSP mungkin akan meminta maklumat seperti nombor pengenalan diri atau nombor KWSP anda sekiranya diperlukan untuk tujuan pengesahan identiti dan tindakan lanjut berkaitan pertanyaan anda.
Dasar Privasi KWSP: https://www.kwsp.gov.my/ms/lain-lain/dasar-privasi
Penafian:
Sekiranya anda menerima mesej WhatsApp mencurigakan yang mendakwa daripada KWSP, elakkan daripada membalas mesej tersebut dan laporkan nombor berkenaan kepada KWSP dengan segera.
10. Apa yang perlu saya lakukan jika menerima mesej WhatsApp mencurigakan yang menyamar sebagai KWSP?
Sekiranya anda menerima mesej WhatsApp yang mencurigakan atau tidak pasti tentang kesahihannya, laporkan segera kepada KWSP melalui salah satu saluran berikut:
a) Borang Pertanyaan di laman web rasmi KWSP; atau
b) Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP.
Frequently Asked Question
11. Apa yang perlu saya lakukan sekiranya memerlukan bantuan semasa menggunakan WhatsApp KWSPMalaysia?
Jika anda menghadapi sebarang masalah atau memerlukan bantuan semasa menggunakan saluran WhatsApp KWSPMalaysia, anda boleh menghubungi kami melalui saluran alternatif berikut:
a) Borang Pertanyaan di laman web rasmi KWSP
b) Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP
c) Pejabat KWSP berhampiran



