Pelaburan Lestari
Menjana Pelaburan Lestari
Kelestarian Adalah Nadi Pelaburan KWSP
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (“KWSP”) ialah dana simpanan persaraan terkemuka di Malaysia yang bertindak selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) dengan tujuan melindungi simpanan ahli dan membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik. Di KWSP, kami percaya bahawa dengan menyelaraskan aktiviti pelaburan dengan kepentingan masyarakat akan memenuhi objektif kami sebagai dana simpanan persaraan yang didorong oleh penciptaan nilai jangka panjang dan lestari untuk pemegang-pemegang kepentingan kami. KWSP juga berpandangan bahawa sebagai tambahan kepada pertimbangan kewangan, faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah penting bagi membuat keputusan pelaburan yang lebih termaklum dan holistik.
Pada 2021, KWSP memulakan langkah untuk beralih menjadi pelabur lestari dan menetapkan dua sasaran pelaburan lestari iaitu memiliki portfolio patuh ESG sepenuhnya menjelang 2030 dan portfolio neutral iklim menjelang 2050. Sasaran-sasaran ini disokong oleh beberapa polisi ESG yang telah dibangunkan sebagai panduan aktiviti pelaburan kami dalam mengendalikan isu-isu berkaitan ESG dan sektor-sektor kontroversi yang telah diberikan keutamaan, berdasarkan keperluan dan materialiti kepada KWSP. Dokumen-dokumen ini akan disemak dan dikemas kini secara berkala untuk mengambilkira sebarang perkembangan terkini.
Kelestarian Adalah Nadi Pelaburan KWSP
Sasaran Pelaburan Lestari KWSP
Portfolio Patuh ESG Sepenuhnya Menjelang 2030
Mencapai portfolio di mana kesemua syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luar mematuhi ekspektasi teras ESG yang ditetapkan oleh KWSP
Portfolio Neutral Iklim Menjelang 2050
Mencapai portfolio pelepasan GHG sifar bersih untuk pelaburan berdaya tahan iklim
Polisi-Polisi Pelaburan Lestari KWSP
Polisi Pelaburan Lestari KWSP
Polisi Pelaburan Lestari ini menerangkan pendekatan menyeluruh KWSP terhadap pelaburan lestari dan penggabungan faktor-faktor ESG ke dalam proses pelaburan dan libat urus bersama pihak berkepentingan. Polisi ini membentuk sebahagian daripada strategi pelaburan KWSP yang telah disemak, diluluskan dan disahkan oleh Panel Pelaburan.
Polisi Tadbir Urus Pelaburan Lestari KWSP
Polisi Tadbir Urus Pelaburan Lestari menggariskan proses dan panduan yang dipatuhi oleh KWSP dalam melaksanakan hak-hak sebagai pelabur bagi menggalakkan tadbir urus yang baik dalam kalangan syarikat pelaburannya serta pengurus dana luar.
Polisi Isu Keutamaan: Perubahan Iklim
Pandangan KWSP mengenai Perubahan Iklim sebagai isu kritikal untuk ditangani adalah selaras dengan keutamaan global. Ini dibuktikan dengan laporan dan penemuan terperinci daripada Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) 2021, Swiss Re Institute’s “The Economics of Climate Change” dan United Nations Climate Change Conference (COP 26) 2021. Perubahan Iklim juga telah menjadi keutamaan di peringkat nasional selaras dengan komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.
Selain daripada penyelarasan dengan keutamaan nasional dan global, kami percaya Perubahan Iklim mempunyai potensi untuk memberi kesan yang signifikan kepada prestasi perniagaan dan pulangan pelaburan kami. Menurut World Economic Forum (“WEF”), 4 daripada 5 risiko global yang teratas adalah berkaitan alam sekitar. Jika ia tidak diurus dengan baik, isu Perubahan Iklim ini boleh menjejaskan masa hadapan ahli kami. Oleh itu, kami sedar akan keperluan ini dan komited untuk memainkan peranan dalam menangani isu-isu berkaitan Perubahan Iklim.
Polisi Isu Keutamaan: Kesejahteraan Pekerja
Pandangan KWSP menegenai Kesejahteraan Pekerja sebagai isu kritikal untuk ditangani adalah selaras dengan keutamaan global. Ini dibuktikan dengan laporan dan penemuan terperinci daripada United Nations Children's Fund (“UNICEF”) Child Labour: “Global Estimates 2020” dan ILO’s Global Wage Report 2020-2021. Di peringkat tempatan, kami juga melihat peningkatan kontroversi mengenai isu hak buruh di kalangan perniagaan yang mendapat liputan di peringkat antarabangsa dan kritikan oleh pelbagai pihak berkepentingan. Kami percaya isu Kesejahteraan Pekerja ini mempunyai potensi untuk memberi kesan yang signifikan kepada reputasi perniagaan dan prestasi Pelaburan KWSP. Oleh itu, kami menyedari keperluan ini dan komited untuk memainkan peranan dalam menangani isu-isu berkaitan Kesejahteraan Pekerja.
Polisi Sektor Keutamaan ini terdiri daripada beberapa ekspektasi keatas enam sektor utama iaitu: 1) Minyak Sawit, 2) Minyak dan Gas; 3) Perlombongan; 4) Penjanaan Tenaga; 5) Pembinaan; dan 6) Perbankan. Sektor-sektor ini dipilih berdasarkan pegangan KWSP serta risiko ESG yang berkaitan dengan sektor berkenaan. Polisi ini adalah bertujuan untuk menangani isu-isu material ESG khususnya bagi sektor-sektor tersebut, di luar skop Polisi Perubahan Iklim dan Kesejahteraan Pekerja. Oleh yang demikian, syarikat yang beroperasi dalam sektor keutamaan KWSP harus merujuk kepada polisi sektor ini dan berusaha untuk memenuhi ekspektasi yang disenaraikan dalam kedua-dua isu dan polisi sektor keutamaan tersebut.
Penyata Pematuhan Terhadap Kod Pelabur Institusi Malaysia
KWSP menjadi penandatangan kepada Kod Pelabur Institusi Malaysia (Kod) pada 24 Januari 2017, sebagai sebahagian daripada agenda untuk terus memupuk tadbir urus korporat yang baik di Malaysia. Penyata pematuhan ini menerangkan pendekatan yang diambil oleh KWSP terhadap pengendalian dan bagaimana aktiviti-aktiviti pelaburannya mematuhi enam (6) prinsip-prinsip Kod tersebut.