Sekatan Perjalanan Majikan
Sekatan Perjalanan Meninggalkan Malaysia Bagi
Pengarah Syarikat, Rakan Kongsi Atau Pemilik Tunggal
Majikan bertanggungjawab untuk membayar caruman pekerja mengikut kadar berkanun yang ditetapkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Majikan yang gagal yang berbuat demikian adalah tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan dan perundangan oleh KWSP, termasuk pelaksanaan sekatan perjalanan terhadap pengarah syarikat, rakan kongsi atau pemilik tunggal, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 39(1)(a), Akta KWSP 1991.
Elakkan Gangguan Perjalanan
- Selaku pengarah syarikat, rakan kongsi atau pemilik tunggal, anda dinasihatkan untuk mengambil tindakan awal menyemak status perjalanan sebelum merancang ke luar negara. Pastikan anda melaksanakan tanggungjawab sebagai majikan dan menyelesaikan sebarang tunggakan caruman KWSP untuk mengelakkan sekatan perjalanan yang boleh menjejaskan perancangan perjalanan anda.
Semak Status Sekatan Perjalanan
- Semakan boleh dibuat melalui portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM): https://sspi.imi.gov.my/SSPI/
Sekatan Dikesan
- Sila rujuk Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengenalpasti pihak penguatkuasa yang mengenakan sekatan tersebut.
Sekatan Oleh KWSP
- Sekiranya disahkan bahawa sekatan perjalanan dikenakan oleh KWSP, sila hubungi Unit Larangan Keluar Negara KWSP melalui emel: [email protected] dengan mengemukakan nama penuh dan nombor kad pengenalan/pasport bagi tindakan lanjut.
Permohonan Pelepasan Sekatan Perjalanan
- Permohonan pelepasan sekatan perjalanan hanya akan dipertimbangkan oleh KWSP sekiranya individu yang terlibat sama ada sebagai pengarah syarikat, rakan kongsi, atau pemilik tunggal menyelesaikan bayaran tunggakan caruman KWSP yang dikenakan ke atas entiti mereka. Sila rujuk Soalan Lazim untuk maklumat lanjut.
Frequently Asked Question
1. Siapakah pengarah syarikat/rakan kongsi/pemilik tunggal?
Pengarah syarikat merujuk kepada individu yang didaftarkan sebagai pengarah dalam sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Rakan kongsi merujuk kepada individu atau entiti yang bekerjasama dalam perniagaan berasaskan perkongsian.
Pemilik tunggal merujuk kepada individu atau entiti yang memiliki hak milik ke atas sebuah perniagaan atau syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
2. Apakah maksud Seksyen 39(1)(a), peruntukan di bawah Akta KWSP 1991 berhubung tindakan sekatan perjalanan meninggalkan Malaysia?
Seksyen 39(1)(a) Akta KWSP 1991 memperuntukkan bahawa:-
“Jika ketua pegawai eksekutif mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mana-mana orang hendak atau berkemungkinan akan meninggalkan Malaysia tanpa membayar manamana caruman yang tertunggak dan kena dibayar di bawah Akta ini, ketua pegawai eksekutif boleh mengeluarkan kepada Ketua Pengarah Imigresen suatu perakuan yang mengandungi butir-butir mengenai orang itu dan caruman yang tertunggak dan kena dibayar dengan permintaan supaya orang itu dihalang daripada meninggalkan Malaysia, melainkan jika dia membayar caruman yang tertunggak dan kena dibayar itu, atau mengemukakan jaminan sehingga memuaskan hati ketua pegawai eksekutif bagi pembayarannya.”
3. Dalam situasi apakah pengarah syarikat/rakan kongsi/pemilik tunggal boleh dikenakan sekatan untuk meninggalkan Malaysia?
Pengarah syarikat/ rakan kongsi/ pemilik tunggal yang gagal membayar caruman KWSP yang tertunggak (termasuk dividen dan caj lewat bayar) boleh dihalang daripada meninggalkan Malaysia.
4. Bagaimanakah pengarah syarikat/rakan kongsi/pemilik tunggal boleh mendapatkan butiran tunggakan yang dikenakan sekatan perjalanan meninggalkan Malaysia?
Pengarah syarikat/rakan kongsi/pemilik tunggal boleh menghubungi Unit Larangan Keluar Negara KWSP menerusi e-mel rasmi: [email protected] bagi mendapatkan butiran tunggakan.
5. Bagaimanakah prosedur permohonan pelepasan sekatan meninggalkan Malaysia?
1. Hantar Permohonan: Permohonan hendaklah dihantar menerusi e-mel [email protected] sekurang-kurangnya lima (5) hari bekerja sebelum tarikh perjalanan, dan perlu mengandungi maklumat berikut:
- Nama penuh individu yang dihalang;
- Nombor kad pengenalan/pasport;
- Nombor majikan KWSP (jika ada);
- Tujuan keluar negara;
- Maklumat destinasi; dan
- Tempoh di luar negara.
2. Maklum Balas Permohonan: KWSP akan memaklumkan pemohon mengenai butiran tunggakan serta jumlah bayaran yang perlu dijelaskan.
3. Membuat Pembayaran: Bayaran hendaklah dibuat melalui deraf bank atau perintah juruwang kepada pegawai Unit Larangan Keluar Negara yang mengendalikan kes atau di mana-mana pejabat KWSP. Resit rasmi pembayaran perlu dikemukakan sebagai dokumen sokongan. Proses permohonan pelepasan tidak akan dilaksanakan sekiranya bukti pembayaran tidak dikemukakan kepada Unit Larangan Keluar Negara.
4. Pemakluman Status: KWSP akan memaklumkan pengesahan dan status pelepasan sekatan perjalanan meninggalkan Malaysia kepada pemohon melalui e-mel.



