Tarikh: 14 Apr 2020
Bayaran Caruman Wajib Bulan April 2020 Dilanjutkan Ke 30 April

KUALA LUMPUR, 14 April 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melanjutkan lagi tarikh membuat bayaran caruman wajib untuk gaji bulan Mac (caruman April 2020) dari 24 April ke 30 April 2020.

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata, “Lazimnya, majikan diwajibkan membuat bayaran caruman KWSP sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan. Semalam, KWSP  telah mengumumkan bahawa tarikh bayaran untuk bulan April ini dilanjutkan ke 24 haribulan. Walau bagaimanapun, setelah menerima maklum balas dan permintaan yang tinggi dari pihak majikan, Lembaga KWSP telah sebulat suara bersetuju untuk melanjutkan lagi tarikh bayaran caruman sehingga akhir bulan ini.”

Majikan boleh membuat bayaran caruman tersebut melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP, perbankan Internet ataupun di kaunter bank yang dilantik.
 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
14 April 2020

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.