Mendekati usia 30-an, seolah-olah memasuki fasa baharu dalam perjalanan menuju kedewasaan. Seperti berdiri di ambang pentas kehidupan yang besar, anda berasa teruja menjadi dewasa dan pada masa yang sama bimbang akan tanggungjawab yang semakin bertambah. Sebelum anda meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-30, ada beberapa matlamat kewangan penting yang harus anda capai.
Anda mungkin masih belum mengetahui segalanya dalam hal kewangan dan kehidupan apabila memasuki usia 30-an. Tetapi jangan risau, ini adalah perkara biasa dan bukanlah sesuatu yang memalukan.
Yang penting anda sentiasa berusaha untuk terus belajar tentang kewangan untuk kefahaman yang lebih mendalam. Dengan memantau situasi kewangan anda secara keseluruhan, anda akan lebih bersedia untuk mencapai matlamat anda pada pelbagai peringkat kehidupan yang berbeza.
Walaupun tidak semua kaedah atau pendekatan sesuai untuk semua orang, tetapi lima tip kewangan berikut boleh dijadikan panduan untuk membantu anda mencapai kejayaan kewangan:
Manfaatkan keberkesanan perancangan bajet
Buatlah bajet yang mencerminkan matlamat dan gaya hidup anda, dan pastikan anda mematuhinya dengan penuh disiplin. Pantau dengan teliti perbelanjaan anda, kenal pasti perbelanjaan apa yang boleh dijimatkan dan saksikan bagaimana simpanan anda berkembang. Ingat, setiap ringgit yang dibelanjakan seharusnya memberi manfaat walaupun sekadar membuat pembelian makan malam pada hari Jumaat.
Tip profesional: Gunakan alatan seperti aplikasi Belanjawanku untuk mempermudah proses ini, membantu anda mencapai objektif kewangan dengan lebih cekap dan berkesan. Muat turun aplikasi ini melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei App Gallery.
Berhati-hati dengan hutang
Hutang boleh menjadi beban yang mengancam masa depan kewangan anda. Justeru, anda perlu menguruskan hutang dengan teliti terutamanya hutang yang dikenakan kadar faedah yang tinggi seperti kad kredit dan pinjaman peribadi. Buat perancangan untuk lunaskan hutang-hutang tersebut bermula dengan hutang dengan kadar faedah yang tinggi. Percayalah, ketenangan yang anda rasakan apabila anda bebas daripada hutang amatlah berharga dan setimpal dengan setiap usaha untuk berjimat-jimat.
Tip profesional: Senaraikan semua hutang beserta kadar faedahnya, dan kemudian pilih sama ada untuk melunaskan hutang yang mempunyai kadar faedah tinggi atau menggabungkan hutang tersebut untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih baik.
Mula mengembangkan simpanan anda
Membina akaun simpanan yang kukuh adalah penting untuk kestabilan kewangan. Buka akaun simpanan yang dikhaskan dan aktifkan fungsi pemindahan automatik sebahagian daripada pendapatan anda secara berkala ke akaun tersebut. Amalan ini tidak hanya memberi anda sumber wang yang stabil untuk tujuan masa depan seperti pembelian besar-besaran, tetapi juga membolehkan anda mengambil peluang untuk melabur.
Tip profesional: Amalan yang baik adalah memiliki simpanan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan pendapatan sebagai jaringan keselamatan sekiranya berlaku keadaan yang tidak dijangka.
Tingkatkan skor kredit anda
Skor kredit adalah penilaian penting yang mencerminkan prestasi kewangan anda. Sasarkan untuk meningkatkan skor kredit anda dengan membayar bil tepat pada waktunya, mengekalkan baki kad kredit yang rendah dan mengelakkan hutang yang tidak perlu. Skor kredit yang baik membuka peluang untuk anda mendapatkan kadar faedah yang lebih baik untuk pinjaman, kad kredit, dan memudahkan proses penyewaan apartmen. Ia adalah kunci menuju kebebasan kewangan yang anda impikan!
Tip profesional: Tetapkan pembayaran secara automatik untuk bil anda bagi mengelakkan kelewatan pembayaran atau caj tambahan.
Mula merancang untuk persaraan
Walaupun persaraan mungkin terasa jauh, membuat perancangan dan memulakan penyimpanan lebih awal akan memastikan anda mendapat manfaat daripada gandaan faedah ke atas simpanan anda. Menyimpan secara konsisten, walaupun dalam jumlah kecil, dapat membantu memberikan persaraan yang selesa dan mengurangkan tekanan untuk menyimpan jumlah yang lebih besar pada usia 30-an dan 40-an.
Tip Profesional: Tambah simpanan KWSP anda dengan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun dan/atau membuat caruman sukarela (VC).
Baca juga: 4 Kesilapan Yang Perlu Dielakkan Semasa Merancang Persaraan