Jika saya perlu bertaruh, percayalah — kehilangan gaji sebulan dalam sepuluh hari lebih mudah daripada ‘melepaskan’ seorang lelaki dalam tempoh yang sama! Terinspirasi dari filem romantik klasik How to Lose a Guy in 10 Days, berikut adalah “nasihat kewangan” yang sebaiknya dielakkan—kecuali jika anda suka melihat duit hasil titik peluh melayang begitu saja.
Beli tanpa fikir, duit pasti licin!
Pernahkah anda terperangkap melayari kedai dalam talian, terpesona dengan kasut tumit tinggi yang comel dari kedai kegemaran? Beli saja! Langkah pertama untuk “keringkan” simpanan adalah dengan membeli tanpa berfikir panjang. Membeli secara impulsif nampak seronok, tapi sebelum anda sedar, pokok simpanan anda mungkin hanya tinggal ranting—sekejap berbunga, lepas itu kosong!
Lupakan bajet, nikmati hidup bebas!
Bajet? Siapa perlukan bajet? Lebih seronok hidup tanpa batasan, menikmati setiap saat tanpa perlu risau tentang perancangan kewangan. Teringin untuk melancong? Tempah saja tiket penerbangan tanpa fikir panjang! Belanja ikut rasa hati—duit boleh dicari semula, bukan? Tapi, jujurlah—"kebebasan" ini sering berakhir dengan hidup kais pagi makan pagi, bak pokok yang berguguran daunnya setiap kali gaji masuk.
Makan luar hari-hari, dompet kosong cepat!
Kenapa perlu susah-susah memasak jika anda boleh menikmati hidangan di restoran kegemaran setiap hari? Makan di luar tampak lebih mudah daripada membeli barangan runcit dan menguruskan pinggan mangkuk selepas itu. Tambahan pula, anda boleh mencuba pelbagai hidangan di restoran baru atau menikmati kopi dari kafe comel di tepi jalan. Siapa yang tidak suka menikmati hidangan lazat tanpa sebarang kesulitan?
Berlanggan tanpa had, duit lesap cepat!
Sangat menggoda untuk mendaftar bagi setiap tawaran perkhidmatan penstriman video, keahlian gim, dan aplikasi menarik yang muncul. Percubaan percuma di sini, perkhidmatan baru di sana—semuanya kelihatan tidak berbahaya pada mulanya! Namun, selepas beberapa minggu, anda mungkin menyedari bahawa anda jarang menggunakan mana-mana perkhidmatan tersebut. Tapi awas! Langganan kecil-kecilan ini boleh bertambah menjadi perbelanjaan besar tanpa anda sedari.
FOMO: Katakan “Ya” untuk setiap jemputan
Sangat mudah untuk terperangkap dalam FOMO (Fear of Missing Out) dan terus berkata “ya” untuk setiap jemputan yang datang. Dalam usaha untuk tidak ketinggalan, kita sering terjebak dalam arus jemputan dan acara yang tidak berkesudahan. Keinginan untuk merasai setiap pengalaman boleh mendorong kita membuat keputusan tergesa-gesa tanpa mempertimbangkan kos jangka panjang—baik dari segi kewangan mahupun kesejahteraan emosi. Sama ada menikmati brunch dengan kawan-kawan atau merancang perjalanan hujung minggu secara tiba-tiba, hidup di saat ini memang terasa memuaskan dan menggembirakan. Siapa yang mahu terlepas keseronokan, betul tak?
Abaikan nasihat kewangan
Kadang-kadang, mudah untuk mengabaikan nasihat kewangan dan selesa dengan apa yang kita tahu. Mungkin terasa selamat untuk tinggal dalam dunia kita sendiri, tetapi mengabaikan nasihat yang berharga boleh membuat anda terdedah kepada risiko dan keputusan yang merugikan. Ingat, ketidaktahuan bukanlah kebahagiaan yang sebenar; ia boleh menjadi penghalang kepada masa depan yang lebih baik.
Bacaan untuk anda: 4 Kesilapan Yang Perlu Dielakkan Semasa Merancang Persaraan