Walaupun Hari Ibu sudah berlalu, sokongan kepada ibu bekerja tidak sepatutnya terhenti di situ sahaja.
Pada hujung minggu lepas, ramai di antara kita meraikan Hari Ibu dengan memberikan jambangan bunga, pelbagai hadiah istimewa dan ucapan penghargaan buat ibu tersayang. Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan sambutan itu, timbul satu persoalanan penting untuk renungan bersama: Adakah kebajikan para ibu benar-benar diberi perhatian dan terbela khususnya di lokasi mereka menghabiskan kebanyakan masa harian — iaitu di tempat kerja?
Ibu bekerja sering digelar sebagai “supermum” kerana kehebatan mereka melakukan pelbagai tugas serentak (multitasking). Mereka mengimbangi tanggungjawab kerjaya sambil menguruskan keluarga dengan cekap. Sama ada mereka itu ibu kita, saudara perempuan, sahabat, atau diri kita sendiri, kita semua pasti memahami dan merasai kecekalan ibu bekerja yang bertungkus-lumus mengimbangi dunia kerjaya dan rumah tangga.
Cabaran dan realiti sebenar ibu bekerja
Bagi kebanyakan ibu bekerja di Malaysia, mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga bukanlah satu perkara mudah. Masyarakat kita sering meletakkan harapan yang tinggi agar wanita menjadi pengasuh utama di rumah, tetapi pada masa yang sama mengharapkan mereka juga cemerlang dalam dunia profesional.
Tuntutan berganda ini adakalanya mencetuskan prasangka di tempat kerja. Komitmen mereka mula dipersoalkan kononnya fokus mereka berbelah bahagi antara kerja dan keluarga.
Tanpa sokongan yang padu, cabaran ini boleh menjadi bebanan berat sehingga memaksa mereka membuat keputusan yang sukar termasuklah berhenti kerja. Sebaliknya, apabila organisasi mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong dan inklusif, golongan ibu ini mampu berkembang maju dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.
Yang paling penting, organisasi juga akan mendapat manfaat melalui peningkatan kadar pengekalan pekerja, moral staf yang tinggi serta budaya kerja yang lebih sihat.
Berikut ialah empat cara majikan boleh memberikan sokongan kepada ibu bekerja:
Cuti bersalin bergaji penuh
Akta Kerja 1955 Malaysia memperuntukkan cuti bersalin bergaji penuh selama 98 hari bagi golongan ibu bekerja yang layak. Manfaat ini sangat kritikal ketika fasa terpenting dalam hidup seorang wanita.
Bagi ibu bekerja, cuti bersalin bergaji penuh menawarkan:
- Jaminan kewangan yang stabil
Memberikan ketenangan fikiran kepada para ibu untuk melangkah ke fasa baharu kehidupan tanpa perlu bimbang tentang punca pendapatan.
- Peluang untuk mengeratkan hubungan dengan anak
Membolehkan ibu membina ikatan kasih sayang yang erat dengan bayi pada bulan-bulan pertama kelahiran yang merupakan tempoh kritikal untuk perkembangan emosi dan fizikal anak.
- Sokongan terhadap penjagaan dan kesihatan bayi
Memastikan para ibu dapat meluangkan masa sepenuhnya untuk memantau jadual imunisasi, rutin penyusuan, serta keperluan asas si kecil.
- Sokongan kesihatan mental
Membantu ibu menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal dan emosi, sekali gus mengurangkan risiko isu kesihatan mental seperti kemurungan selepas bersalin (postpartum depression).
Dengan menyediakan cuti bersalin bergaji penuh, majikan menzahirkan keprihatinan mereka terhadap pengorbanan ibu bekerja. Komitmen ini bukan sahaja menjaga kebajikan golongan ibu bekerja, malah memberi kesan positif dalam kehidupan harian serta membuktikan bahawa sumbangan dan dedikasi mereka benar-benar dihargai.
Waktu kerja yang fleksibel
Waktu bekerja yang fleksibel kini menjadi semakin penting bagi para ibu yang perlu menguruskan kerjaya dan komitmen keluarga secara serentak. Pilihan seperti waktu anjal, mod kerja hibrid atau bekerja dari rumah (BDR) dapat membantu mereka menguruskan jadual harian dengan lebih baik tanpa menjejaskan produktiviti.
Paling utama, aturan kerja sebegini merupakan simbol kepercayaan majikan terhadap pekerja. Apabila pekerja berasa dipercayai dan disokong, mereka akan menjadi lebih bermotivasi, fokus dan setia kepada organisasi.
Sokongan penjagaan anak
Antara cabaran terbesar buat ibu bekerja ialah mencari tempat penjagaan anak yang boleh dipercayai dan pada kos yang berpatutan. Bagi kebanyakan wanita, isu ini sering menjadi punca utama kepada tekanan kewangan dan emosi.
Majikan boleh membawa perubahan besar dengan memperkenalkan inisiatif mesra keluarga seperti:
- Subsidi yuran penjagaan anak
Bantuan kewangan ini dapat meringankan beban kos taska sekali gus membolehkan ibu bapa fokus bekerja tanpa runsing memikirkan perbelanjaan penjagaan anak.
- Kemudahan taska di tempat kerja
Menyediakan taska di dalam atau berhampiran pejabat memberikan ketenangan minda kepada ibu bapa kerana anak-anak berada dekat dan dijaga dalam persekitaran yang selamat semasa mereka bekerja.
- Bilik penyusuan bayi
Ruang yang selesa, bersih dan peribadi untuk para ibu mengepam susu, sekali gus menjaga privasi dan maruah mereka di tempat kerja.
Sokongan kesihatan dan kesejahteraan
Menguruskan kerja sambil menjaga keluarga boleh mengundang keletihan melampau dan gejala burnout. Oleh sebab itulah, sokongan kesihatan amat diperlukan oleh ibu bekerja.
Majikan boleh menyokong aspek ini melalui inisiatif seperti:
Program sokongan kesihatan mental
Perkhidmatan kaunseling
Aktiviti kesejahteraan warga kerja
Bengkel pengurusan stres
Manfaat rawatan dan penjagaan kesihatan
Budaya kerja yang mengutamakan aspek kesejahteraan memberikan isyarat yang jelas bahawa tenaga kerja dihargai sebagai seorang manusia, bukannya ‘mesin’ yang menghasilkan produktiviti semata-mata.
Membentuk persekitaran kerja yang lebih menyokong
Golongan ibu mempunyai keupayaan yang luar biasa. Mereka sering menjadi tulang belakang keluarga, dan dengan sokongan yang betul, mereka juga boleh menjadi penggerak utama kejayaan sesebuah organisasi.
Apabila sesebuah organisasi melabur untuk mewujudkan tempat kerja yang mesra ibu, semua pihak akan mendapat manfaat — pekerja, majikan, keluarga, dan masyarakat keseluruhannya.
Sokongan yang bermakna buat para ibu seharusnya berterusan setiap hari, bukannya sekadar diraikan setahun sekali.



