4 Cara Untuk Mencapai Kebebasan Kewangan

Raikan Merdeka dengan Permulaan Baru Menuju Kebebasan Kewangan
Article Image

Setiap kali tibanya 31 Ogos, rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat menyambut Hari Kemerdekaan dengan penuh rasa syukur dan bangga. Tahun ini, sempena ulang tahun ke-68 kemerdekaan tanah air, marilah kita menghayati erti kemerdekaan bukan sahaja dari sudut sejarah perjuangan bangsa, tetapi juga dari sudut kehidupan peribadi — khususnya kebebasan daripada bebanan hutang kewangan. 

Sebagaimana nenek moyang kita berjuang tanpa mengenal penat lelah demi mencapai kemerdekaan negara, kita juga mampu berusaha membebaskan diri daripada belenggu hutang. Tidak kira siapa kita, dari mana kita datang, atau apa jua keadaan hidup yang kita lalui, impian untuk hidup bebas daripada hutang ialah harapan yang dikongsi oleh semua. Namun persoalannya, bagaimana impian ini boleh menjadi kenyataan?

Balang kaca duit syiling emas dengan bendera Malaysia, dikelilingi timbunan syiling simbol simpanan dan pertumbuhan kewangan.

Mari kita terokai beberapa kaedah pembayaran hutang yang dapat membantu kita mencapai kemerdekaan kewangan yang diimpikan.

1. Kaedah runtuhan salji

Hutang mana perlu dilangsaikan dahulu?

Bayar hutang dengan kadar faedah tertinggi terlebih dahulu. Dengan memberi fokus kepada hutang-hutang ini, anda boleh: 

  • Menjimatkan bayaran faedah dalam jangka masa panjang. 
  • Mempercepatkan proses pelunasan hutang keseluruhan. 
  • Meningkatkan skor kredit melalui rekod pembayaran yang konsisten dalam laporan CCRIS dan CTOS 

ContohAli dan Mariam, sepasang suami isteri yang baru berkahwin, mempunyai tiga hutang utama: 

  • Kad kredit dengan 18% faedah,  
  • Pinjaman kereta dengan 7% faedah,  
  • Pinjaman pelajaran dengan 5% faedah.  

Mereka memilih untuk membayar lebih pada kad kredit mereka dahulu sambil membuat bayaran minimum untuk dua hutang yang lain. Setelah hutang kad kredit selesai, mereka boleh menggunakan jumlah wang yang sama untuk melangsaikan pinjaman kereta mereka dan seterusnya pinjaman pelajaran.  

💡 Kaedah ini sesuai untuk: Mereka yang ingin mengurangkan beban faedah secara strategik dan mencapai kebebasan kewangan dengan lebih cepat melalui perancangan yang teliti.  

2. Kaedah bebola salji

Bagaimana kemenangan kecil boleh memberi motivasi?

Bayar hutang yang paling kecil terlebih dahulu untuk meraih kepuasan awal dan motivasi untuk menguruskan hutang yang lebih besar.

ContohChong seorang eksekutif yang berkhidmat di sebuah syarikat swasta mempunyai tiga hutang:  

  • Pinjaman peribadi RM1,000 
  • Pinjaman pelajaran RM5,000  
  • Pinjaman kereta RM10,000 

Dia mula dengan melangsaikan pinjaman peribadi RM1,000 dahulu bagi mendapatkan kepuasan awal. Setelah selesai, Chong menggunakan jumlah bayaran yang sama untuk membayar pinjaman pelajaran, dan seterusnya pinjaman kereta.  Kemenangan kecil ini memberikan dorongan untuknya meneruskan usaha untuk melangsaikan hutang-hutang yang ada secara konsisten, sambil memperbaiki rekod CCRIS. 

💡 Kaedah ini sesuai untuk: Mereka yang baru mula mengurus hutang, mudah hilang motivasi, atau ingin melihat hasil yang cepat untuk kekal bersemangat.  

3. Kaedah kepingan salji

Bagaimana simpanan tambahan boleh bantu langsaikan hutang dengan lebih cepat?

Gunakan lebihan duit daripada aktiviti harian untuk membuat pembayaran tambahan. Walaupun jumlahnya kecil, ia dapat membantu mempercepatkan pelunasan hutang tertunggak dan memberi kesan positif kepada rekod kredit anda.

Contoh: Gunalan, seorang pelajar, berjimat RM10 sehari dengan membawa bekal makanan dari rumah. Daripada membiarkan lebihan RM10 itu begitu sahaja, dia menggunakan duit tersebut untuk membuat pembayaran balik pinjaman pelajarannya. Walaupun jumlah itu kecil, lama kelamaan ia memberikan perbezaan yang besar, mempercepatkan proses pelunasan hutang dan meningkatkan skor kreditnya.

💡 Kaedah ini sesuai untuk: Mereka yang mempunyai bajet yang terhad, berdisiplin, serta ingin melihat kemajuan secara konsisten dalam usaha mengurangkan hutang yang ada. 

4. Kaedah penyatuan hutang

Bagaimana anda boleh memudahkan bayaran hutang dengan menjadikannya satu bayaran sahaja? 

Gabungkan semua hutang dalam satu pinjaman baru dengan kadar faedah lebih rendah. Dengan menyatukan semua hutang anda dalam satu pembayaran bulanan, anda bukan sahaja memudahkan pengurusan kewangan dan mengurangkan tekanan, tetapi juga memberi anda lebih banyak ruang untuk merancang masa depan yang bebas dari hutang.

Dua orang di pejabat atas kerusi biru berbincang kewangan, graf dolar terapung, suasana mesra dan kolaboratif.

Contoh: Maria, seorang ibu tunggal dengan beberapa kad kredit dan pinjaman peribadi, memilih untuk menyatukan semua hutangnya dalam satu pinjaman baru dengan kadar faedah yang lebih rendah. Dengan cara ini, Maria hanya perlu membuat satu pembayaran tetap setiap bulan, memudahkan pengurusan kewangan dan mengurangkan tekanan.

💡 Kaedah ini sesuai untuk: Mereka yang ingin menyusun semula pelbagai komitmen hutang agar lebih mudah diurus.

Langkah seterusnya menuju kemerdekaan kewangan — sudahkah anda bersedia? 

Merdeka daripada bebanan hutang adalah satu pencapaian yang amat berharga. Dengan mengaplikasikan kaedah-kaedah ini, anda akan semakin dekat untuk bebas daripada hutang dan seterusnya membina kestabilan kewangan jangka panjang untuk diri sendiri dan orang tersayang.  
 
Ingatlah, setiap situasi kewangan adalah berbeza. Untuk mendapatkan panduan yang sesuai dengan keperluan anda, berundinglah dengan Pegawai Perhubungan & Nasihat (RA) KWSP. Kemerdekaan kewangan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai — mulakan langkah pertama anda hari ini!  

Dapatkan Perundingan Profesional KWSP Secara Percuma

back chevron