“Ilmu adalah pelaburan peribadi yang berharga dan tidak boleh dirampas oleh orang lain.” - Jutawan, Warren Buffett.
Sejak kecil lagi, kita telah didedahkan tentang kepentingan pendidikan. Ia merupakan salah satu perjalanan kehidupan yang perlu ditempuh dan mengiringi kita sepanjang jalan.
Pendidikan merupakan batu loncatan untuk mencapai cita-cita kita. Selain membentuk keperibadian seseorang, ia juga boleh membentuk masa depan yang cerah, malahan memberi keyakinan kepada diri sendiri untuk menyusuri arus perubahan dunia yang semakin laju dan mempersiapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang dapat membantu dalam pembangunan peribadi.
Selain itu, jika kita mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, ia dapat membantu kita untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang diimpikan, dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti kehidupan secara keseluruhan.
Bagaimana pendidikan mempengaruhi pembangunan kerjaya?
Walaupun kita telah berjaya mendapatkan jawatan dalam sesebuah syarikat, keinginan untuk meningkatkan kemahiran serta menyahut cabaran baru itu akan ada. Ini kerana kita didorong oleh kesedaran diri untuk sentiasa maju ke hadapan.
Tetapi, apakah langkah yang boleh diambil untuk peningkatan dan perkembangan dalam kerjaya anda?
Melalui usaha mengejar pendidikan yang lebih tinggi, anda bukan sahaja memperoleh kemahiran dan ilmu pengetahuan yang berharga, tetapi juga membuka peluang kerjaya yang lebih banyak.
Bukan itu sahaja, pendidikan tinggi juga merupakan panduan untuk mengharungi landskap kerjaya yang sentiasa berubah dalam profesion anda. Dengan memastikan anda memiliki pengetahuan mengenai perkembangan industri terkini, peluang anda untuk menjadi lebih berdaya saing dan pakar dalam bidang tersebut akan semakin meningkat.
5 sebab bagaimana pendidikan boleh membuka peluang pembangunan kerjaya
Mari ketahui 5 sebab bagaimana pendidikan boleh membuka peluang pembangunan kerjaya:
1. Meningkatkan kemahiran insaniah
Kemahiran insaniah atau soft skills, juga dikenali sebagai kemahiran intrapersonal dan interpersonal, adalah kemahiran dalam membina hubungan dengan diri sendiri dan persekitaran kerja berpasukan.
Penglibatan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan atau kelab di insitusi pendidikan memberikan asas untuk mengasah kemahiran seperti komunikasi, daya penyelesaian masalah, pemikiran kritikal, kerjasama, dan banyak lagi. Apabila anda menguasai kemahiran ini, anda secara tidak langsung menjadi seorang individu yang lebih berdaya dan berpotensi untuk menjadi sebuah aset dalam organisasi.
2. Menambah ilmu pengetahuan
Melalui pendidikan, anda akan memperoleh kemahiran tinggi serta memperluas pengetahuan anda, mempersiapkan diri dengan kemahiran praktikal yang dapat membantu mereka meraih kejayaan lebih besar dan membuka pintu kepada peluang untuk kenaikan pangkat.
Dengan kemahiran baharu ini, anda dapat memperkuatkan keupayaan anda untuk berfikir di luar kotak bagi menyelesaikan sebarang masalah. Ia membantu anda kekal bersedia untuk menghadapi cabaran baru dengan penyelesaian yang logik dan kreatif, serta dapat memperluaskan pandangan anda dan mengubah cara anda menjalankan tugas harian.
3. Pembangunan profesional untuk peluang pekerjaan yang lebih baik
Kini, semakin ramai yang memiliki ijazah sarjana muda dalam pasaran pekerjaan, dan ini membuatkan anda berdepan saingan sengit sesama sendiri. Oleh itu, melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi adalah salah satu cara untuk membezakan tahap dan kebolehan anda dari yang lain.
Tindakan ini mencerminkan komitmen anda untuk memperkukuhkan pembangunan diri dan pembangunan profesional untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang yang anda minat. Dalam pasaran pekerjaan yang penuh dengan persaingan, inilah yang akan membezakan anda dan meningkatkan kemahiran yang berkualiti.
4. Menceburi minat profesional baharu
Masyarakat kita sering berpegang kepada pemikiran bahawa satu bidang pekerjaan sudah mencukupi untuk mencapai kejayaan dalam hidup dan menggalakan orang lain untuk mengehadkan hala tuju pendidikan mereka. Namun, cuba keluar daripada norma ini dan berikan diri anda peluang untuk mempelajari ilmu di luar bidang yang anda pilih, anda pasti akan menemui sesuatu yang menarik minat dan keinginan untuk mengetahui lebih mendalam.
Apabila anda ambil masa untuk meneroka bidang yang berbeza dan mendapat pendidikan yang mempunyai hubung kait antara satu sama lain, anda secara tidak langsung telah menjadikan diri anda seorang yang serba boleh di dalam ruang lingkup ilmu yang telah dipelajari. Anda mungkin boleh menggabungkan kemahiran baharu ini di tempat kerja anda, meningkatkan kebolehan kerjaya anda, atau bahkan memulakan usaha baru yang lebih menarik.
5. Mengembangkan jaringan hubungan profesional anda
Di dalam kelas, anda akan berinteraksi dengan pelbagai rakan sekelas yang datang dari latar belakang yang berbeza. Ia memberikan anda peluang untuk menjalin hubungan dengan individu yang berkongsi tahap pemikiran dan pengalaman yang sama atau berbeza daripada anda.
Mewujudkan dan mengekalkan hubungan ini adalah penting dari segi strategik. Hubungan yang kukuh ini bukan sahaja memberi manfaat dalam perjalanan pendidikan anda, tetapi juga sebagai sumber informasi yang luas untuk perkembangan kerjaya anda.
Manfaatkan simpanan KWSP untuk membiayai pendidikan anda
Tidak dinafikan pendidikan boleh menjadi satu keperluan yang mahal.
Kos pendidikan peringkat tinggi termasuk kursus pensijilan profesional seperti ACCA dan CIMA kini semakin meningkat dan membayar balik pinjaman pengajian anda, terutamanya pada tahun-tahun awal kerjaya anda, boleh menjadi satu cabaran.
Oleh itu, anda boleh mengeluarkan sebahagian daripada simpanan KWSP untuk menampung perbelanjaan pendidikan anda, termasuk pinjamin dan yuran pengajian, tanpa mengambil kira sama ada anda menyelesaikan pengajian atau tidak. Pengeluaran ini juga tersedia untuk anak-anak, pasangan dan ibu bapa anda. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa pengeluaran pendidikan ini tertakluk kepada institusi pendidikan yang diluluskan di dalam dan luar negara.
Anda boleh mengeluarkan jumlah maksimum yuran keseluruhan atau pinjaman pendidikan yang tertunggak, atau simpanan dalam Akaun Sejahtera, yang mana lebih rendah untuk menampung kos seperti: